PELAKON dan pempengaruh, Imranul Effendy memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi rakan baiknya yang dianggap seperti kakak sendiri, Norreen Iman susulan isu perubahan imej baru-baru ini.
Pada masa sama, Imranul, 27, menghormati segala keputusan Norreen selain mendoakan yang terbaik buat rakannya.
“Saya cuma nak cakap kakak saya, Noreen Iman sangat baik orangnya.
“Dia yang membantu perjalanan saya masuk industri ini daripada kosong kepada seseorang dikenali.
“Untuk saya nak kupas isu dia, saya rasa tak berhak sebab itu hal peribadi dia dan saya hormati apa-apa keputusan dia.
“Saya rasa apa yang dia buat adalah yang terbaik untuk dirinya. Saya cuma nak doakan yang terbaik buat dia dan keluarga, itu saja,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran drama vertikal BRU: Masin & Manis, semalam.
Ditanya sama ada Norreen ada berkongsi atau meluah perasaan kepadanya, pelakon filem Nar’sata: Sekufu Setan itu memilih untuk merahsiakannya daripada pengetahuan umum.
“Perkongsian itu biarlah saya dengan dia (tahu),” katanya.
Selain itu, Imranul mendedahkan dia tidak terkesan dengan segala kritikan yang dilemparkan netizen terhadap Norreen kerana lebih mengenali wanita itu.
“Tak (terkesan) sebab saya kenal kakak saya sendiri jadi saya tak terkesan pun apa orang cakap.
“Biarlah orang nak cakap apa. Bukan mereka kenal pun kakak saya.
“Saya okey saja. Mulut orang kita tak boleh nak tutup ya,” jelasnya.
Sebelum ini, Norreen mengundang perhatian ramai apabila tampil tidak bertudung dalam satu hantaran Instagram
Dalam foto tersebut, Norreen muncul dengan imej berambut pendek dan turut diwarnakan perang. – HIBGLAM
