Kibar Cinta Merdeka satukan jiwa rakyat Malaysia

SEMANGAT patriotisme terus disemarakkan menerusi karya terbaharu penyanyi dan personaliti popular, Alif Satar bersama kumpulan The Locos berjudul Kibar Cinta Merdeka, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 35, berkata penglibatannya dalam projek berkenaan mempunyai makna tersendiri kerana mesej kebersamaan perlu terus dipupuk, bukan hanya ketika tibanya bulan kemerdekaan.

“Kibar Cinta Merdeka adalah tentang kita semua. Walaupun hadir daripada latar belakang berbeza, kita berkongsi satu tanah air dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

“Kami berharap lagu ini dapat membawa semangat positif serta mengingatkan kita supaya terus menghargai kebersamaan, kerana itulah kekuatan membuatkan Malaysia begitu istimewa,” katanya.

Bukan hanya tampil dengan lagu serta video muzik berlatarkan semangat kemerdekaan, karya hasil kerjasama bersama Nutriplus itu turut membawa mesej perpaduan, kecintaan terhadap tanah air serta kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

Menerusi karya berkenaan, Alif Satar & The Locos mengajak masyarakat daripada pelbagai latar belakang mengetepikan perbezaan, sebaliknya meraikan persamaan sebagai rakyat daripada sebuah negara berdaulat.

Pelantun lagu Lelaki Seperti Aku itu turut percaya muzik mempunyai kuasa tersendiri dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, bangsa mahupun latar kehidupan.

“Bagi saya, semangat kemerdekaan tidak seharusnya berhenti pada sambutan tahunan atau sekadar mengibarkan Jalur Gemilang.

“Semangat itu perlu diterjemahkan melalui rasa bangga terhadap negara, menghargai kepelbagaian serta menjaga hubungan sesama rakyat Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, kolaborasi bersama Nutriplus turut menjadi sebahagian daripada usaha jenama berkenaan mendekati keluarga Malaysia menerusi kempen dekat dengan kehidupan seharian.

Bersempena pelancaran Kibar Cinta Merdeka, Nutriplus turut menganjurkan kempen Beli & Menang 999 Gold Egg bermula 1 Ogos hingga 30 September 2026.

Video muzik rasmi Kibar Cinta Merdeka kini boleh ditonton menerusi saluran digital rasmi Nutriplus di YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok. – HIBGLAM.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok