‘Takkan buat filem aksi bajet ‘ciput’, umur saya berisiko cedera’

PELAKON Alicia Amin tidak teragak-agak menolak sebarang tawaran lakonan terutama naskhah genre aksi sekiranya bayaran yang ditawarkan tidak berbaloi dengan persiapan dan hasil kerja diberikan.

Alicia atau Raja Alicia Raja Amin, 31, berkata, perkara tersebut adalah bagi memastikan setiap perkara yang berisiko berlaku sepanjang melakukan babak aksi termasuk kecederaan menerima pulangan yang sepatutnya.

“Saya suka filem aksi tetapi terima atau tidak, semuanya bergantung kepada pampasan dan bayaran untuk sesebuah naskhah sama ada sepadan dengan usaha yang diberikan pelakon.

Saya tak akan buat sebarang filem aksi secara melulu kalau bajet tidak bagus. Sebab saya bukanlah muda sangat, sudah masuk usia 30-an yang akan ada risiko kecederaan, banyak perkara kena dipertimbangkan.

“Jadi selagi bajet bagus, keselamatan terjamin, diet terjaga, dan jalan cerita masuk akal, saya akan buat,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Chelot di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, prinsipnya itu bukan kerana cerewet atau memilih sebaliknya disebabkan filem aksi menuntut seseorang pelakon melakukan persiapan selama berbulan-bulan bahkan setahun sebelum penggambaran dijalankan.

“Saya bukan tak suka genre aksi tetapi kalau beri bajet kecil namun jangka saya berlatih selama tiga bulan yang ambil masa lama, pihak produksi kena beri bayaran berbaloi untuk tempoh tersebut.

Pernah juga saya tolak beberapa tawaran atas pelbagai sebab. Tidak guna kalau kita buat kerja tapi emosi dan tak gembira di set penggambaran disebabkan bayaran.

“Kalau buat sesi foto satu dua hari pun dah rasa penat, apatah lagi kalau projek panjang yang makan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan, akan jadi beban,” ujarnya.

Tambah Alicia, perkara tersebut bukan hanya dipratikkan dalam dunia lakonan tetapi juga kerja lain yang dilakukannya.

“Logik ini terpakai untuk semua kerja termasuk fesyen. Takkanlah saya nak hadap perasaan tak gembira selama 30 hari, tidak berbaloi.

Perlu ada elemen minat dan komitmen dalam setiap perkara yang kita buat tetapi fokus utama saya selalunya pada skrip yang bagus, tak kisah aksi atau drama.

“Saya masih teringin nak buat filem komedi romantik tapi masih belum ada rezeki lagi,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, filem Chelot lakonannya bersama Beto Kushairy, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar dan Shaheizy Sam bakal ditayangkan pada 27 Ogos depan di pawagam seluruh negara.

Alicia memainkan watak Zara dalam naskhah arahan Adrian Teh itu yang mengangkat isu sindiket haram penyeludupan senjata api. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok