60 penunggang Ducati gegarkan promosi ‘Tiket Sehala’

KEHADIRAN kira-kira 60 penunggang Ducati Official Club Malaysia (DOCM) memeriahkan promosi filem Tiket Sehala menerusi siri jelajah anjuran MADANI TRX (Madani Greatlink Sdn. Bhd.) di Central i-City, di sini.

Program Meet & Greet itu turut menyaksikan perarakan kira-kira 40 motosikal berkuasa tinggi Ducati selain menampilkan barisan pelakon filem berkenaan serta pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.

Lebih menarik, kira-kira 70 tiket percuma turut diagihkan kepada pengunjung sebagai sebahagian daripada usaha menyokong karya tempatan.

Pengerusi Madani Greatlink, Hairi Jasadi berkata, penganjuran di Central i-City merupakan kesinambungan daripada siri jelajah terdahulu yang berlangsung di MADANI TRX, Jalan Imbi.

“Hari ini kita meneruskan siri jelajah dengan mengagihkan kira-kira 70 tiket percuma kepada penonton dan penyokong karya tempatan.

Selain itu, kita turut membawakan cabaran ‘Gold Bar Challenge’ yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM51,000 kepada pengunjung yang berjaya mengangkat jongkong emas berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Mengulas penglibatan DOCM, Hairi berkata, kelab motosikal berkenaan merupakan antara komuniti yang bernaung di bawah jaringan Madani Greatlink sekali gus menjadikan penyertaan mereka sebagai antara tarikan utama program kali ini.

Menurutnya, konvoi yang merentasi Kuala Lumpur sebelum menuju ke Shah Alam itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat automotif dan penggiat filem tempatan.

“Sambutan amat memberangsangkan, malah ada ahli yang meminta supaya siri jelajah ini diteruskan ke lokasi lain.

“Namun, disebabkan kekangan jadual yang padat, pihak kami tidak dapat memenuhi permintaan berkenaan dan ini merupakan acara penutup bagi siri jelajah ini,” katanya.

Tiket Sehala mengisahkan Alif, Putri dan Taqy yang terperangkap dalam sindiket pemerdagangan manusia sebelum dipaksa bekerja di sebuah ladang bawang terpencil di bawah kawalan dua beradik tempatan, Park Jae Soo dan Park Ha Joon.

Naskhah berkenaan menampilkan gabungan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.

Antara pelakon yang menjayakan filem itu ialah Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ardell Aryana dan Saha Champ.

Turut membintangi filem tersebut ialah pelakon antarabangsa seperti Hyunjun Suk, Ha Ju Young, Ninja Aphisit Usadee dan Naufal Samudra.

Filem Tiket Sehala mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 6 Ogos lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok