SIAPA yang tidak kenal Datuk Yusof Haslam dalam industri hiburan tempatan.
Sebut sahaja namanya, pasti terbayang deretan filem pecah panggung yang dihasilkannya termasuk Sembilu, Maria Mariana, Pasrah, Bara, Gerak Khas The Movie dan banyak lagi.
Itu belum lagi bercerita tentang drama popular arahannya seperti Gerak Khas, Roda-Roda Kuala Lumpur, Sembilu, Janji Diana dan Si Capik yang pernah menjadi fenomena dan wadah hiburan rakyat Malaysia setiap minggu sejak lebih 30 tahun lalu.
Kini, pada usia 72 tahun, Yusof atau nama lengkapnya Mohd. Yusof Md Haslam Khan, masih bergiat aktif dalam bidang seni sebagai pengarah dan penerbit bawah payung Skop Production yang dibina sejak 45 tahun lalu.
Kejayaan yang diraih beliau pada hari ini bukanlah datang bergolek, sebaliknya hasil kerja keras lebih lima dekad menghasilkan pelbagai naskhah seni yang dekat dengan jiwa masyarakat.
Bermula sebagai pelakon, Yusof membina empayarnya sendiri sehinggalah bergelar tokoh seni yang disegani.
Hampir kesemua filem arahan dan terbitannya mencapai kutipan pecah panggung.
Pada 1995, naskhah arahannya, Sembilu 2 berjaya mendapat kutipan sebanyak RM6.1 juta, sekali gus menjadi filem tempatan terlaris sepanjang zaman sebelum dipintas Lagi Lagi Senario pada 2001. Berikutan kejayaan tersebut, beliau digelar Six Million Dollar Man.
Namun di sebalik kejayaan yang diraihnya ketika itu, ada kisah duka yang tersimpan rapi di lubuk hatinya.
Tidak semua senang dengan kejayaan yang dikecapi bahkan ada yang lantang mempertikaikan karya-karya garapannya.
Ada yang mempersoalkan sampai bila saya asyik nak buat filem komersial. Tak mahukah buat filem lebih ke arah ‘art’.
“Pemilihan pelakon filem saya juga turut dipertikai kerana lebih suka ambil penyanyi sebagai pelakon. Henti-hentilah ambil penyanyi sebagai pelakon kata mereka.
“Ada juga pelakon yang tidak mahu berlakon dalam filem saya kerana enggan bergandingan dengan penyanyi.
“Tetapi saya tidak salahkan mereka. Mereka mempunyai pandangan dan pendirian tersendiri.
Saya hormat pandangan mereka. Biarlah mereka dengan cara mereka, saya dengan cara saya.
“Ada juga pengarah lain yang gunakan penyanyi sebagai pelakon tetapi tidak semuanya menjadi. Bergantung kepada jalan cerita juga,” katanya.

YUSOF bersyukur dikurniakan isteri yang teguh menjadi tulang belakangnya dan tidak putus memberikan kata-kata semangat saat dirinya diuji dan diperlekehkan individu-individu yang tidak selesa melihat kejayaannya.
Tulang belakang
Bak kata orang, di sebalik kejayaan seorang lelaki ada seorang wanita, begitu juga dengan Yusof. Isterinya, Datin Patimah Ismail merupakan tulang belakang serta penasihat utama sejak hari pertama dia bergelar pengarah dan penerbit.
“Bagi saya pengkritik yang paling jujur ialah isteri sendiri.
“Sebelum saya menjadi pengarah filem, saya hasilkan drama selama lima tahun. Bila saya nak buat filem pertama, isteri saya sarankan supaya suntik elemen muzikal kerana itu apa yang dimahukan generasi ketika itu.
Dia tanya apa ‘selling point’ saya? Sekarang orang tengah gilakan muzik. Disebabkan itu saya ambil Ella sebagai pelakon dalam filem sulung saya iaitu Bayangan Maut di samping Noorkumalasari.
“Alhamdulillah filem itu berjaya mendapat kutipan melebihi RM1 juta walaupun bajet tidak besar, dalam sekitar RM300,000. Saya gunakan modal daripada hasil menerbitkan drama televisyen selama lima tahun,” kongsinya.
Tambahnya, Patimah menjadi penyejuk jiwa tatkala ada pihak cuba merendah-rendahkan hasil kerjanya biarpun meraih kejayaan komersial.
“Setiap kali ada yang mengkritik saya atau filem saya, isteri akan minta saya pekakkan telinga.
Katanya buatlah apa sekali pun, jual makanan atau filem, yang penting menepati cita rasa penonton. Kena ikut majoriti apa yang penonton suka.
“Katanya, saya bikin filem sebagai salah satu cabang perniagaan. Ada ramai pekerja yang perlu dibayar gaji. Kena pandang dari sudut bisnes. Memang betul apa yang dikatakannya,” ujar bapa kepada empat zuriat itu.
Menangis Sembilu ditayangkan
Bercerita mengenai filem paling ikonik yang dihasilkannya iaitu Sembilu, Yusof tidak pernah menyangka filem dibintangi Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain itu akan mencatat kejayaan luar biasa.
Apatah lagi ada beberapa pelakon terkenal menolak untuk membintangi filem itu gara-gara kurang yakin bergandingan dengan penyanyi.
“Sewaktu tayangan perdana filem Sembilu di pawagam Odeon, ramai menjangkakan filem ini akan pecah panggung.
“Ada yang meramalkan filem ini akan meraih kutipan RM2 juta. Tetapi saya jangka mungkin akan dapat RM1 juta sahaja.
Ramai yang hadir puji filem Sembilu. Saya sampai menangis sebab terharu. Malam itu juga ramai hadir ke pawagam tersebut untuk beli tiket tayangan hari pertama Sembilu keesokan harinya.
“Esoknya saya bawa kereta lalu pawagam Odeon pukul 10 pagi. Saya lihat ramai orang beratur di luar pagar. Saya hubungi pengurus pawagam tanya kenapa orang ramai sangat di luar.
Semua orang bercakap nak tengok Sembilu. Hari pertama tayangan sahaja, pawagam tersebut mencatat kutipan sebanyak RM13,000. Zaman itu kira dah tinggi,” katanya.
Beliau sendiri terkejut dan tidak tidak pernah menjangkakan sekuel filem Sembilu iaitu Sembilu 2 akan mendapat kutipan sebanyak RM6.1 juta.
“Sejujurnya saya tak pernah jangka. Saya ingat akan dapat separuh daripada kutipan filem pertama. Sewaktu saya nak buat sekuel, ada juga yang berkata saya tidak akan dapat ulangi semula kejayaan Sembilu. Tetapi rezeki Allah tiada siapa yang dapat menduga.
Apa yang membuatkan saya sedih ketika itu, biarpun filem Sembilu 2 mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah, ada yang menghentam filem ini dengan memberi ‘rating’ yang sangat rendah.
“Tiada perkara yang baik, semua buruk. Tak ke mana filem begini kata mereka. Kadang-kadang menangis juga saya. Tetapi isteri saya yang banyak memberi kata-kata semangat ketika itu,” luahnya.

YUSOF mengakui bertuah formulanya menggunakan penyanyi sebagai pelakon menjadi dan diterima baik penonton.
Tawar Siti Nurhaliza berlakon
Mengulas lanjut kecenderungannya mengambil penyanyi sebagai hero dan heroin filem arahannya, Yusuf mengakui pernah melamar Biduanita Negara Datuk Siti Nurhaliza membintangi Bara.
“Saya pernah tawarkan Siti Nurhaliza berlakon dalam filem Bara. Tetapi ketika itu dia terpaksa menolak kerana terlalu sibuk dengan jadualnya sebagai penyanyi. Setiap hari dia ada ‘show’.
Saya sangat hormati Siti kerana dia sendiri hadir ke pejabat saya untuk menolak tawaran tersebut secara baik. Katanya ketika itu, ‘Abang Yusof, Siti tak ada pengalaman berlakon. Lagipun jadual Siti penuh, Siti tak mahu susahkan abang.’
“Biarpun ketika itu sudah bergelar penyanyi popular, Siti sanggup datang bertemu saya. Sesetengah orang mungkin tak pandang kita tetapi Siti punyai adab dan pekerti yang tinggi. Saya ucap terima kasih kepadanya kerana sudi datang pejabat,” kongsinya.
Sambung Yusof, disebabkan Siti menolak membintangi filem tersebut, dia terpaksa mengolah semula jalan cerita filem Bara.
Saya cipta watak Siti sebagai pelakon pembantu. Saya tulis cerita yang kena dengan lagu-lagunya tetapi apabila Siti tak ada, saya ubah cerita,” dedahnya.
Terus aktif
Meski ramai rakan seusianya memilih untuk bersara sebagai anak seni, Yusof masih bersemangat untuk terus aktif menghasilkan karya-karya di layar lebar dan layar kaca.
Terbaharu, Skop Productions menerbitkan drama kepolisan Gerak Khas 2.0 untuk tayangan TV Sarawak (TVS) atas permintaan stesen itu.
“Saya seorang yang suka bekerja. Biarpun saya pernah menoktahkan Gerak Khas satu ketika dahulu, masih ada stesen televisyen yang berminat untuk menyiarkan drama bersiri ini. Jadi bila ada permintaan, saya teruskan.
Anak-anak saya, Syamsul dan Syafiq pernah cakap, mereka tak mampu untuk ikut cara saya berkerja. Sewaktu terbitkan dan arahkan filem satu ketika dahulu, dalam masa sama saya turut menerbitkan dan mengarah drama televisyen.
“Drama saya mendapat ‘rating’ yang tinggi. Gerak Khas pada asalnya saya terbitkan untuk satu musim sahaja untuk tayangan dalam masa setahun.
Tetapi siapa sangka drama tersebut menjadi fenomena sehingga tercatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai drama bersiri paling lama disiarkan.
“Biarpun ada pihak menuduh saya menggunakan kabel, asyik-asyik drama terbitan saya yang disiarkan sehingga ada yang mengadu kepada menteri.
“Tetapi ‘rating’ tidak menipu. Akhirnya menteri pun akur apabila stesen televisyen dedah laporan ‘rating’ drama saya,” dedahnya.
Ditanya apakah hasratnya yang belum berjaya lagi dilunaskan lagi, tanpa berselindung Yusof mengakui mahu mengarahkan dua buah filem lagi sebelum karier seninya berakhir.
“Sudah lama saya tidak mengarah filem. Ikut perancangan saya akan hasilkan sebuah filem cinta dan sebuah lagi filem aksi.
“Semoga Allah izinkan dan permudahkan,” tutupnya. – HIBGLAM
