‘Nasi ayam RM26, saya okey orang buat ulasan jujur’

BERMULA dengan perkongsian resipi kegemaran keluarga di media sosial, pelakon dan usahawan, Neelofa mendedahkan menjadi pencetus kepada perniagaan nasi ayam yang kini diusahakan ibunya, Datin Noor Kartini.

Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 37, berkata dia tidak menyangka resipi nasi ayam air tangan ibunya meraih sambutan luar biasa sehingga ramai netizen menyatakan keinginan menikmati hidangan tersebut.

“Pada awalnya saya cuma berkongsi resipi nasi ayam di Instagram dan tiba-tiba jadi viral pula.

Ramai ‘tag’ saya dan mama sampai ke satu tahap mama (ibunya) kata dia nak cuba jual nasi ayam,” katanya menerusi hantaran video dalam Instagram.

Katanya, makanan itu juga sudah menjadi sajian wajib keluarga mereka sejak zaman kanak-kanak ketika tinggal di Pasir Mas, Kelantan.

“Sejak kecil lagi dan zaman duduk di Pasir Mas, inilah menu yang kami makan sampai sekarang.

Ini memang kegemaran kami sekeluarga. Siapa yang sudah rasa, kebanyakannya kata sedap tetapi ada juga yang kurang suka.

“Terpulang pada lidah masing-masing,” ujarnya yang turut menunjukkan isi dalam bekas nasi ayam terbabit.

Menurut Neelofa, setiap set dilengkapi nasi, ayam bahagian paha dan pangkal paha, kicap, sambal, sup serta salad.

Pada masa sama, ibu kepada dua anak itu juga mengakui berlapang dada menerima ulasan pelanggan mengenai nasi ayam yang dijual pada harga RM26 sebekas itu.

“Sebenarnya saya okey sahaja dengan orang yang buat review jujur mengenai nasi ayam ini, sama ada sedap atau tidak.

Mama buat nasi ayam ini pun cuma sebagai pendapatan sampingan memandangkan dia sudah tidak bekerja.

“Dia buat kerana minat dan dalam masa sama mahu membantu orang lain di sekeliling,” kongsinya.

Sebelum ini ramai netizen memperkatakan mengenai nasi ayam Noor Kartini yang didakwa dijual pada harga T20 iaitu mencecah RM26.

Walaupun mencetuskan perdebatan, masih ramai pelanggan mempertahankan kualiti serta keenakkannya dengan menyatakan mereka sudah beberapa kali membuat tempahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok