5 selebriti seberang pilih jujur, mengaku kesilapan silam

PENDEDAHAN kehidupan peribadi selebriti sering kali menjadi topik hangat yang mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Di Indonesia, walaupun norma budaya dan agama sangat menitikberatkan soal ikatan perkahwinan, terdapat segelintir selebriti memilih untuk bersikap jujur dan terbuka mengenai kesilapan masa lalu mereka.

Mereka memilih untuk menghadapi kecaman masyarakat daripada terus berbohong, sekali gus memberikan pengajaran kepada peminat tentang realiti dan risiko setiap tindakan yang diambil dalam kehidupan.

HibGlam kali ini menyenaraikan beberapa artis ternama Indonesia yang secara berani mengakui hamil sebelum melangsungkan perkahwinan.

Nana Mirdad, Andrew White

PASANGAN pelakon Nana Mirdad dan Andrew White mendirikan rumah tangga pada 13 Mei 2006.

Namun, apa yang mencetuskan kekecohan adalah apabila Nana melahirkan cahaya mata sulung mereka, Jason Deandra White selepas tujuh bulan mendirikan rumah tangga.

Ibunya yang juga aktres veteran, Lydia Kandou akhirnya mendedahkan Nana Mirdad hamil sebelum bergelar isteri kepada Andrew.

Bagaimanapun, Lydia meluahkan rasa syukur kerana pelakon berusia 41 tahun itu tidak terfikir untuk menggugurkan kandungan sebaliknya memilh untuk bertanggungjawab ke atas zuriatnya.

Sepanjang 20 tahun hidup bersama, rumah tangga Nana dan Andrew kekal harmoni dan bahagia sehingga menjadi inspirasi ramai peminat.

Kini, difahamkan anak pasangan romantis itu melanjutkan pelajaran di Australia.

Marcell Darwin

TIDAK mengambil masa lama untuk menghalalkan hubungan, pelakon Marcell Darwin sah bergelar suami kepada Nabila Faisal pada 12 Januari 2020.

Sebelum menggalas amanah itu, dia terlebih dahulu memeluk agama Islam.

Dia juga secara terbuka mengakui isterinya sudah hamil empat bulan sewaktu majlis pernikahan mereka berlangsung.

Pendedahan yang dimuat naik menerusi saluran YouTube itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Kezia Karamoy, Axcel Narang

SELEPAS dua tahun menyimpan rahsia, pelakon Kezia Karamoy akhirnya berani berterus-terang mengenai kehamilan cahaya mata sulungnya.

Bekas anggota kumpulan Cherrybelle itu mendedahkan dirinya hamil sebelum bergelar isteri kepada Axcel Narang pada 29 Mac 2017.

Lima bulan selepas melangsungkan majlis perkahwinan, Kezia selamat melahirkan anak lelaki sulung mereka yang diberi nama Alfredo Elfata Narang.

Onadio Leonardo, Beby Pricillia

VOKALIS kumpulan Killing Me Inside, Onadio Leonardo mengakui dia mengahwini Beby Pricillia ketika isterinya itu sedang berbadan dua.

Pengakuan berani tersebut didedahkan secara terbuka pemilik nama sebenar Leonardo Arya, 36, di hadapan rakan media.

Mendirikan rumah tangga pada 29 Jun 2019, Onad dan Beby kini mengecapi kebahagiaan bergelar ibu bapa.

Uus

PELAWAK Uus mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Kartika pada 19 Mac 2019.

Namun, kelahiran cahaya mata sulung mereka selepas enam bulan bernikah mencuri perhatian ramai dan hangat diperdebatkan dalam media sosial.

Susulan spekulasi tersebut, pemilik nama sebenar Rizky Firdaus Wijaksana itu akhirnya membuat pengakuan secara terbuka menerusi saluran YouTube miliknya.

Tanpa teragak-agak dia mengesahkan Kartika hamil sebelum mereka sah bergelar suami isteri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok