KECOH isu disiplin membabitkan artis baharu, termasuk dakwaan jarang bergaul di set penggambaran, pelakon Ezaidi Aziz berpendapat tidak semua bersikap sedemikian kerana sebahagiannya mungkin bergelut dengan sifat introvert.
Bagaimanapun, Ezaidi atau nama sebenarnya Mohamed Ezaidi Abdul Aziz, 31, menegaskan sifat pendiam bukan alasan untuk terus membina tembok ketika bekerja kerana dunia lakonan menuntut anak seni berkomunikasi serta bekerjasama dengan ramai pihak.
“Saya rasa ramai pelakon baharu bukan sombong, tetapi mungkin introvert. Namun, kita tidak boleh biarkan perasaan itu menguasai diri kerana kita bekerja dengan ramai orang.
Kena buang sifat introvert itu. Macam saya, ketika pergi set, saya akan tegur kru teknikal. Ada orang menganggap tidak penting, tetapi sebenarnya merekalah sangat penting kerana mereka antara individu pertama melihat hasil kerja kita.
“Apapun, bertegur sapa ini memang sangat penting. Jadi, kita kena pecahkan tembok segan dalam diri untuk menyapa pelakon senior dan belajar daripada mereka,” katanya kepada HibGlam.
Tambah bintang drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar itu, keberanian mendekati aktor lebih berpengalaman turut membantunya berkembang sebagai pelakon, malah sokongan rakan industri mampu menjadi pembakar semangat ketika berdepan rasa gugup di set.
Contohnya, saya pernah berlakon dengan Keith Foo dan dia sangat membantu. Bila cakap saya ‘down’ serta gementar, dia berkata, ‘Adik, ini babak awak. Kalau awak buat betul-betul, awak akan nampak sebagai hero dalam babak ini.’
“Perkara sebegitu sangat membantu. Sebab itu saya rasa pelakon baharu memang perlu ada inisiatif untuk menegur dan berbuat baik, malah dengan kru teknikal pun sama,” ujarnya.
Paling penting katanya, seseorang pelakon tidak boleh menjadikan sifat introvert sebagai alasan untuk mengabaikan aspek profesionalisme, lebih-lebih lagi apabila bidang seni menjadi sumber rezeki.
“Bagi saya, tidak. Kalau betul-betul minat dan mahu buat, kita perlu berikan sepenuh komitmen. Macam saya, tahun ini saya memang mahu buat habis-habisan.
Bila kita sudah tetapkan dalam fikiran, ‘Saya mahu beri 100 peratus untuk kerja ini kerana di sinilah tempat kita mencari rezeki’, soal sikap dan sifat introvert perlu diketepikan.
“Datang lambat juga tidak boleh. Kita mesti menepati masa. Bila semua perkara itu dijaga, sekurang-kurangnya kita tidak memberi ruang kepada orang untuk menyalahkan atau mempertikaikan sikap kita,” jelasnya.
Terdahulu, isu sikap segelintir pelakon baharu kembali menjadi perhatian selepas beberapa pelakon senior meluahkan rasa kurang senang terhadap golongan berkenaan kerana didakwa jarang bergaul, tidak bertegur sapa serta lebih selesa membawa hal masing-masing ketika berada di set penggambaran.
Perkara itu sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai kepentingan adab, komunikasi dan sikap profesional dalam kalangan pelakon baharu, selain keperluan membina hubungan baik bersama seluruh pasukan produksi. – HIBGLAM
