PELAKON dan penyanyi, Aliff Aziz menganggap kenyataan maestro muzik terkenal, Datuk M. Nasir yang memilihnya sebagai pemegang watak Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu disebabkan ketampanannya hanyalah sebagai satu bentuk gurauan.
Aliff atau nama lengkapnya Mohamad Aliff Aziz, 35, dia enggan mengambil perkara tersebut sebagai sesuatu yang besar kerana perkara paling penting ketika ini adalah cara untuk mempersembahkan watak Sultan Mansur dalam teater pertama arahan M Nasir itu.
Tidaklah, saya rasa M. Nasir hanya bercanda dan bergurau sahaja.
“Sekarang saya hanya mahu fokus bagaimana untuk hidupkan watak ini, berpeluang memegang watak Mansur pun sudah cukup membuatkan saya rasa terharu,” katanya selepas sidang media teater terbitan Icon Entertainment dan Roman Abadi itu di sini, semalam.
Katanya, dia yakin M. Nasir melakukan proses pemilihan barisan pelakon termasuk dirinya secara teliti selepas sesi uji bakat.
“Pada pendapat saya, di mata M. Nasir dan isterinya, Datin Marlia Musa mungkin saya mempunyai rupa dan susuk yang mereka inginkan bagi menjayakan watak Sultan Mansur untuk teater ini.
Saya dan pelakon lain perlu menjalani uji bakat untuk nyanyian, lakonan dan pergerakan. Tidak tahu bagaimana nak jelaskan tetapi saya rasa ini adalah rezeki.
“Terima kasih kerana memberikan saya kepercayaan untuk memainkan watak utama di dalam pementasan muzikal Mansur & Liu ini,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman pertama kali bekerja di bawah arahan M Nasir, dia mengakui gementar namun menganggap pengalaman tersebut sangat berharga buat dirinya yang dianggap terlalu hijau dalam dunia teater.
“Pada awalnya, saya memang ‘starstruck’ dan berdebar. Realitinya, dia seorang individu yang tidak banyak bercakap.
Dia tidak lokek dengan ilmu, apa sahaja yang kita nak tanya, banyak pencerahan akan diberikan.
“Kadang-kadang bila kita tengah buat latihan itu, kita tengok dia nampak dia tutup mata, sebenarnya dia sedang menghayati,” jelasnya.
Terdahulu, M. Nasir berseloroh dengan menggelar Aliff sebagai lelaki kedua paling tampan di Malaysia apabila ditanya mengenai faktor utama memilih bekas juara Gegar Vaganza musim ke-8 sebagai teraju utama Mansur & Liu pada sidang media semalam.
Mansur & Liu bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 September depan.
Selain Aliff, teater tersebut turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Melinda Dadew, Hazama, Fiza Thomas, Arena Wan, Sherry Alhadad dan Ruzana Inrahim. – HIBGLAM
