‘Hantaran saya bukan berniat lagakan pejuang garis satu’

SUSULAN hantaran mengenai istilah pejuang garis satu, pengacara Uyaina Arshad menjelaskan bahawa tujuannya bukan untuk membandingkan apatah lagi memperkecilkan usaha golongan yang sedang bergelut mendapatkan cahaya mata.

Menurut Uyaina atau nama penuhnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, setiap individu mempunyai fasa perjuangan yang berbeza dalam fasa rumah tangga, sama ada mahu menambah zuriat atau merancang kehamilan.

“Hari itu saya ada buat hantaran mengenai pejuang garis satu, itu pun tiba-tiba ramai beri reaksi dan respons, saya tak jangka cuma rasanya ramai yang macam saya, berjuang untuk tak mengandung secara manual ataupun menggunakan alat bantuan.

“Cuma hantaran saya bukan untuk melagakan mereka yang sedang berjuang dapatkan anak dan mereka yang berjuang merancang.

Bukan nak bandingkan siapa punya perjuangan lebih teruk, berat atau menderita. Hakikatnya kita masing-masing ada perjuangan masing-masing dan kita saja yang tahu apa yang kita sedang berjuang.

“Jadi teruskan perjuangan masing-masing, tak perlu bandingkan satu sama lain. Cukup untuk kita bercakap dan doa yang baik-baik saja,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama vertikal My Ramadan Love Story yang berlangsung di Courtyard by Marriot, Kuala Lumpur, semalam.

Berkongsi lanjut, pelakon drama Love Elsa itu mengakui pernah berada dalam situasi di mana dia perlu memastikan ujian kehamilan tidak menunjukkan keputusan positif atas faktor perancangan keluarga.

“Macam saya selama ini pun ada ramai kawan-kawan yang pejuang garis dua yang mula TTC (Trying To Conceive) bertahun-tahun lamanya. Saya tak pernah cakap benda-benda yang buruk sebenarnya, saya sentiasa doakan untuk mereka pejuang garis dua.

Saya cuma fikir kalau ada pejuang garis dua mestilah ada pejuang garis satu sebab saya memang setiap kali kalau buat ujian kehamilan cakap ‘jangan double line’.

“Waktu awal-awal dulu memang merancang secara manual. Tapi masing-masing ada pendapat sendiri. Itu niat saya buat hantaran itu, mungkin ada yang tersalah tafsir,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, isteri kepada penyanyi Raja Syahiran itu menerima kecaman menerusi aplikasi Threads apabila memuat naik hantaran mengenai wujudnya golongan wanita yang berusaha untuk tidak kembali hamil.

Bagaimanapun, pendapat tersebut bukan bermaksud dirinya menolak rezeki atau tidak bersyukur.

Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Syahiran pada 21 Disember 2021.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, 4, Raja Urrayan, 2, dan yang terbaharu, Raja Uzayn yang dilahirkan pada Januari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok