‘Berdasarkan pengetahuan Adira, tiada rujuk berlaku’

PENYANYI Adira Suhaimi menafikan dakwaan berlaku lafaz rujuk dengan bekas suami, usahawan Datuk Seri Adnan Abu Bakar pada Mei 2024.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam syarie Nor Saidah Zakaria yang mewakili Adira selain menegaskan pengesahan lafaz rujuk yang didakwa berlaku secara lisan itu tidak diketahui oleh penyanyi berkenaan selaku defendan.

“Pihak defendan menerima saman pengesahan lafaz rujuk daripada plaintif pada 18 Disember 2025 dan hari ini kami hadir bagi memasukkan wakalah peguam dan pembelaan sementara Adira menafikan dakwaan rujuk tersebut.

Dakwaan plaintif menyatakan lafaz rujuk berlaku pada Mei 2024, namun berdasarkan pengetahuan Adira, tiada rujuk berlaku,” katanya kepada HibGlam selepas sebutan kali pertama pengesahan lagaz rujuk di Mahkamah Syariah Daerah Gombak Barat, hari ini.

Dalam pada itu, Adira turut menerima notis peringatan daripada peguam Adnan yang meminta ahli keluarga menurunkan sebarang hantaran berkaitan kes pengesahan lafaz rujuk tersebut yang dimuat naik dalam media sosial sebelum ini.

Hari ini kami baru sahaja masukkan pembelaan dan turut menerima notis peringatan daripada pihak plaintif berhubung beberapa hantaran dalam media sosial.

“Keputusan semuanya akan diputuskan pihak mahkamah selepas kedua-dua belah pihak memberi keterangan,” ujarnya.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 16 Februari depan sebagai perbicaraan pertama pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan Datuk Red terhadap Adira.

Red memfailkan pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Disember tahun lalu.

Untuk rekod, Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada 24 April lalu.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok