‘Tak dapat anak-anak, hangus puluhan ribu ringgit percutian dibatalkan’

PEMPENGARUH media sosial, Cik Epal berdepan kerugian puluhan ribu ringgit apabila percutian impian bersama dua anaknya terpaksa dibatalkan pada saat akhir, sekali gus memadamkan perancangan ke Harbin, China yang sudah lama dirancang.

Cik Epal atau nama sebenarnya Nor Munirah Mahmud, 34, berkata, keputusan pahit itu dibuat kerana tidak dapat bersama anak-anak seperti direncanakan, menyebabkan semua perbelanjaan percutian berkenaan hangus begitu sahaja.

“Saya terpaksa batalkan percutian itu, kira hanguslah semua wang sudah dibelanjakan.

“Kalau boleh memang saya nak bawa anak-anak bercuti, namun disebabkan tak dapat bersama mereka, rancangan itu tak boleh diteruskan.

“Saya berhabis puluhan ribu ringgit untuk percutian ini. Niat saya cuma mahu bercuti dengan anak-anak,” katanya kepada HibGlam.

Menurutnya, punca utama pembatalan percutian tersebut adalah kerana ketidakmampuan mendapatkan anak-anak daripada bekas suami, Jofliam, namun memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

“Sebenarnya saya tak dapat anak-anak saya. Saya tak mahu panjangkan isu ini.

“Sekarang saya sudah malas nak ulas di media sosial. Saya mahu bersuara di mahkamah saja.

“Apa-apa biar mahkamah uruskan, perkara ini sudah saya bawa ke sana,” ujarnya pada sidang media Anugerah Paling Viral Online sebuah portal hiburan, di sini, malam tadi.

Cik Epal menegaskan pendiriannya untuk tidak lagi menjadikan isu berkaitan keluarga sebagai kandungan media sosial, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan.

Terdahulu, pempengaruh Ashhry Atan atau Mohamad Asri Atan memuat naik hantaran di Threads meluahkan rasa kecewa apabila perancangannya untuk bercuti ke Harbin bersama Cik Epal tidak kesampaian.

Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen membuat spekulasi pembatalan percutian tersebut berkait rapat dengan isu anak-anak Cik Epal, Han dan Yuki, dipercayai tidak diserahkan oleh bekas suaminya, Jofliam.

Untuk rekod, Cik Epal pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan tersebut pada 1 Jun 2014 sebelum bercerai pada Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Han dan Yuki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok