‘Nak gaduh masuk gelanggang, jangan jadikan anak penonton’

PENYANYI Bunga Isme menasihati pasangan suami isteri agar tidak menjadikan anak sebagai saksi setiap pertengkaran rumah tangga kerana kesannya membekas dalam jiwa si kecil untuk tempoh panjang.

Ujar Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari, 26, kanak-kanak mungkin belum mampu memahami sepenuhnya apa berlaku di depan mata, namun pengalaman melihat ibu bapa bertengkar boleh tersimpan dalam ingatan hingga dewasa.

“Traumanya tengok orang bergaduh depan budak. Boleh tak jangan gaduh depan anak?

Kalau nak bergaduh, pergi masuk mana-mana gelanggang pun tak apa. Tolong bergaduh jauh daripada anak sebab anak tak pernah memilih siapa ibu bapa mereka.

“Selalu orang kata anak masih kecil, bukannya mereka faham. Salah. Anak kecil inilah paling mudah ingat semua benda sampai mereka besar. Jangan ingat anak kecil akan lupa,” katanya menerusi Threads.

Luahan pelantun lagu Intan Payung itu dibuat selepas tular rakaman video memaparkan sepasang suami isteri bertengkar dalam kereta di hadapan anak mereka.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial apabila rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan Bunga dan mengakui kesan pergaduhan ibu bapa terhadap anak tidak wajar dipandang ringan.

“Anak mungkin diam, tetapi bukan bermakna mereka tak faham atau tak rasa apa-apa. Saya antara salah seorang yang mengalami benda sama.

Betul. Luka zaman kecil kadang-kadang terbawa sampai besar. Nanti akan jadi trauma.

“Kalau ada masalah rumah tangga, cari tempat dan masa sesuai. Jangan jadikan anak penonton,”antara komen netizen. –  HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok