Pempengaruh Hafiz Mahamad cuba nasib, terbit filem pendek

Usahawan dan pempengaruh popular Hafiz Mahamad buat pertama kalinya tampil menerbitkan sebuah filem pendek berbentuk eksperimental sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun ini.

Filem pendek yang diberi judul Kisah Merdeka itu turut membariskan isteri tercintanya, Syafiqah Aina sebagai tunjang utama selain dilatari suara pelakon legenda, Datuk Rahim Razali.

Menariknya, Kisah Merdeka merupakan hasil terbitan sepenuhnya daripada produksi Ainaa Beauty sendiri.

“Saya dan isteri menghasilkan sebuah karya sempena bulan kemerdekaan, digarap serta diterbitkan sendiri oleh team in house Ainaa Beauty.

“Filem ini dihasilkan dalam masa yang singkat sahaja dan mengisahkan perbezaan dua zaman; zaman dahulu (sekitar 1940) dan zaman terkini (2023),” katanya.

Kisah Merdeka menceritakan tentang masyarakat yang dijajah pada zaman dahulu oleh pihak komunis dan pada masa sama ada segelintir masyarakat kini masih dijajah melalui mentaliti yang suka mengutuk dan mengejek kekurangan orang lain.

“Kesusahan, kelemahan luaran sentiasa menjadi ‘subjek’ penjajah pada mereka yg lemah. Teknologi pula adalah ‘senjatanya’.

“Nenek moyang kita ajarkan kita tentang ‘bersatu’ agar menjadi bangsa yang kuat. Jika ada yang lemah, pasti akan ada hadir untuk membantu,” katanya.

Kisah Merdeka juga mengetengahkan kisah sebenar daripada pengguna produknya yang berdepan dengan cemuhan netizen.

“Objektif cerita ini adalah untuk memberikan kesedaran jangan salah menggunakan kemodenan teknologi untuk menghina individu yang kelihatan lemah.

‘Filem pendek diadaptasi daripada kisah sebenar pengguna Ainaa Beauty yang berhadapan dengan cemuhan netizen disebabkan masalah kulit muka mereka, 

“Filem ini adalah permulaan kepada 11 siri cerita yang akan dipaparkan tidak lama lagi yang berkisarkan tentang perjalanan individu berdepan hinaan masyarakat,” tambahnya.

Meninjau ruangan komen, ada yang meluahkan rasa rindu dapat mendengar semula suara Datuk Rahim Razali menerusi filem pendek Kisah Merdeka.

“Terubat rindu dapat dengar suara pelakon legenda kesayangan ramai ini. Teruskan usaha murni Hafiz dan Aina!” tulis netizen. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok