PELAKON Nadzmi Adhwa meluahkan rasa gembira dan tidak sabar berjumpa isteri tercinta, Ardell Aryana yang dijangka tiba di tanah air malam ini selepas lebih sebulan menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Gaza.
Ujar Nadzmi atau nama sebenarnya, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 33, segala persiapan sudah dilakukan untuk menyambut kepulangan Ardell yang dirindui bukan sahaja dirinya bahkan seluruh keluarga.
“Persediaan itu memang sentiasa bersedia. Sekarang cuma tunggu masa nak berjumpa sahaja. Memang rindu sangat sebab dah lama tak jumpa.
Saya akan tunaikan semua permintaan dia yang sempat disebut dalam siaran langsung baru-baru ini. Katanya teringin nak makan tom yam dan nasi goreng kampung.
“Insya-Allah, sebaik tiba nanti, kami terus bawa dia makan apa saja yang diinginkan,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Dalam masa sama, Nadzmi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak henti-henti mendoakan keselamatan Ardell dan rakan-rakan sukarelawan lain sepanjang misi berlangsung.
Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tak henti-henti bertanya khabar dan mendoakan keselamatan Ardell serta rakan-rakan misi.
“Alhamdulillah, ramai yang ambil berat. Saya hargai kasih sayang semua. Moga Allah membalas segala kebaikan kalian,” ujarnya.
Terdahulu, 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Zionis ketika dalam perjalanan menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Bagaimanapun, kesemua mereka telah dibebaskan dan diterbangkan ke Istanbul, Turkiye menggunakan pesawat khas sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan di sana.
Difahamkan, Ardell mengalami kecederaan pada bahagian tisu bahu namun berada dalam keadaan stabil.
Turut serta dalam misi berkenaan ialah dua aktivis kemanusiaan terkenal, Heliza Helmi dan adiknya Hazwani, yang dijadualkan tiba di tanah air malam ini bersama semua 21 sukarelawan lain. – HIBGLAM