Ziana Zain kini bergelar Datuk

TIGA dekad bersinar dalam arena muzik, penyanyi Ziana Zain kini bergelar Datuk selepas dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran berkenaan.

Pengiktirafan tertinggi itu dizahirkan menerusi penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran berkenaan sempena Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Pelantun lagu Madah Berhelah itu merupakan antara 189 individu yang dikurniakan darjah D.P.S.M. daripada keseluruhan 1,328 penerima pelbagai darjah, tauliah, bintang serta pingat kebesaran negeri Melaka bagi tahun ini.

Ziana sebelum ini pernah menegaskan bahawa dia tidak pernah memburu sebarang pingat atau darjah kebesaran sepanjang berkecimpung sebagai warga seni, sebaliknya sentiasa menyerahkan perkara itu kepada ketentuan rezeki.

Baginya, keutamaan hakikinya adalah untuk terus memberikan persembahan terbaik dan konsisten menghiburkan para peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan kerjayanya.

Sepanjang penglibatannya dalam industri, dia mewarnai persada muzik tempatan menerusi deretan lagu malar segar seperti Puncak Kasih, Anggapanmu dan Putus Terpaksa.

Gelaran Datuk yang diterima hari ini menjadi penanda aras tertinggi buat legasi serta bakti bakat seni berkaliber itu yang sentiasa meletakkan mutiara karyanya di kedudukan tersendiri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok