PELAKON terkenal Indonesia Asmara Abigail menyifatkan menu terkenal ayam gepuk di Malaysia lebih sedap berbanding negara asalnya.
Asmara atau nama lengkapnya Asmara Abigail Sumiskum, 34, berkata demikian sewaktu ditanya tentang makanan kegemarannya selama tinggal di Malaysia.
Menurut Asmara, Malaysia sudah menjadi rumah keduanya dan dia kini sedang menjalani penggambaran filem di sini selama dua bulan.
“Biarpun ayam gepuk adalah makanan yang berasal dari Indonesia, tetapi Malaysia menghasilkan ayam gepuk yang lebih sedap,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Peluru Senja, di sini, semalam.
Tambah pelakon filem Pengabdi Setan itu lagi, dia sangat sukakan infrastruktur di Kuala Lumpur terutamanya daripada segi pengangkutan awam.
“Kuala Lumpur sangat meriah dan hidup. Saya sukakan pemandangan di sini. Saya boleh berjalan kaki dan menggunakan pengangkutan awam dengan mudah di sini.
“Sebagai seorang yang datang dari Jakarta, hal-hal sebegini yang membuatkan saya berharap agar kerajaan kami melakukan perkara yang sama untuk negara kami. Saya sayang Malaysia,” jelasnya.
Bercerita tentang filem Peluru Senja yang turut menampilkannya sebagai salah seorang watak utama, kata Asmara, dia gembira dapat terlibat dengan filem fiksyen sejarah yang berkisarkan tentang Malaysia.
“Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Siti. Cabaran utama saya adalah untuk bertutur dalam dialek Pahang.
“Sangat susah sebenarnya. Saya ambil masa selama dua bulan untuk belajar. Tetapi saya dibantu oleh dua rakan pelakon dari Malaysia iaitu Hazman Al Idrus dan Fabian Loo,” kongsinya.
Berlatarkan Tanah Melayu pada tahun 1948, Peluru Senja mengisahkan seorang askar Melayu dan seorang askar British yang tertinggal ketika pasukan British berundur.
Dibayangi trauma peperangan, kedua-duanya terpaksa mengetepikan perbezaan apabila sebuah perkampungan berdepan ancaman kumpulan bersenjata.
Bakal menjengah pawagam pada 28 Ogos sempena Hari Kebangsaan, filem bertaraf antarabangsa itu diedarkan oleh MSK Cinemas Sdn. Bhd. dan diterbitkan dengan kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures serta Viking Sunset Studios. – HIBGLAM.
