SALAH seorang anggota kumpulan Elite iaitu Watie Sadali terpaksa membuat persembahan di konsert Elite yang berlangsung semalam di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tanpa kehadiran suami tercinta.
Kesemua rakannya yang lain iaitu Sasha Saidin, Linda Rafar, Abby Abadi dan Azza Zawari ditemani suami tercinta serta keluarga masing-masing.
“Untungla suami datang. Suami saya tak ada malam ni. Dia tak datang,” kata Watie saat rakan-rakannya yang lain menyapa suami masing-masing.
Namun Watie tidak keseorangan kerana anaknya turut hadir bersama kakak-kakaknya. Turut hadir ialah anak tirinya iaitu anak kandung Joey hasil perkahwinan terdahulu.
Joey ketika ditemui media di Kilauan Emas kelihatan sebak kerana tidak dapat menyaksikan konsert isterinya.
“Sudah tentu saya sedih tak dapat pergi konsert Elite. Selalunya perkara kecil pun saya akan sentiasa ada bersama dengan isteri. Dia ialah tunjang saya. Saya tahu dia sedih saya tak dapat bersamanya,” katanya yang hampir menitiskan air mata menahan sebak.
Biarpun tanpa kehadiran suami, Watie tetap menghiburkan dengan teletahnya yang bersahaja apabila ramai penonton tidak kering gusi penonton melihat gelagat Elite di atas pentas.
Pada konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Elite berjaya menghiburkan ribuan peminat mereka dengan rangkaian lagu popular seperti G.I.G, Tamparan Wanita, Trauma dan Manisnya Senyumanmu.
Turut menarik perhatian ramai adalah kemunculan semula kumpulan X-Factor selepas 15 tahun tidak bersama selain penampilan kumpulan Alpha yang berduet bersama Elite menerusi lagu Di Pintu Syurga. – HIBGLAM