REALITINYA, perbezaan umur bukan penghalang buat pasangan sehati sejiwa yang ingin melangkah ke alam rumah tangga.
Kini, semakin ramai lelaki yang terbuka berkahwin dengan wanita lebih berusia, malah sedia menerima suri hati bergelar ibu tunggal.
Situasi tersebut juga menerima respons pelakon Emma Maembong yang menganggap kebahagiaan berdua jauh lebih penting berbanding pandangan atau kecaman masyarakat.
“Di luar sana sekarang kita lihat ada sahaja ibu tunggal yang mengahwini lelaki bujang. Tidak hanya masyarakat biasa, malah dalam kalangan selebriti pun ada.
“Pada awalnya memang akan ada yang skeptikal, tetapi selepas kecam, mereka akan diam kerana tiada isu pun.
Saya juga boleh katakan, situasi ini wujud dalam realiti masyarakat zaman sekarang. Bukan lagi sesuatu yang pelik,” katanya kepada HibGlam.
Malah, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 33, berpendapat perkahwinan antara wanita lebih tua dan lelaki muda tidak sepatutnya dipandang serong.
Katanya, perkara tersebut adalah fenomena yang semakin normal bahkan berbalik kepada jodoh aturan Tuhan.
“Saya juga perasan orang ramai selalu pandang situasi kahwin wanita lebih tua berbanding lelaki itu salah, tetapi lelaki tua dengan wanita muda itu tidak pula dipertikai.
“Kalau dah jodoh tiada siapa boleh halang. Cinta tidak memandang kepada umur,” ujarnya semasa sidang media dan tayangan episod pertama drama Viu, Seadanya Kita.
Bercakap mengenai Seadanya Kita, Emma melakonkan watak utama sebagai ibu tunggal yang menemui cinta dengan jejaka lebih muda dilakonkan aktor Mierul Aiman.

Emma bergandingan dengan Mierul Aiman menerusi drama terbaharu, Seadanya Kita.
Katanya, penonton akan memahami setiap cabaran yang perlu dilalui pasangan yang mempunyai jarak usia berbeza.
“Drama ini juga menceritakan tentang percintaan jarak umur yang jauh. Awal-awal teaser drama ini keluar ramai kutuk kata gandingan saya dengan Mierul tidak sepadan.
Sedangkan kisahnya memang tentang ‘love gap’. Bila nanti penonton sudah saksikan baru mereka akan faham jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan,” ujarnya lagi.
Selain itu, Emma menerima tawaran untuk drama Viu kerana jalan cerita yang tidak klise selain mencabar kemampuan lakonannya.
“Banyak benda yang buatkan saya terima sebab jalan cerita tak klise. Lebih kepada realiti seperti lelaki tak beritahu keluarga apabila sudah bercerai sebab nak sembunyikan skandal dia.
“Saya terima watak ini sebab sangat lain daripada lain. Jadi rasa macam seronok pula untuk bekerjasama.
“Sebagai pelakon kalau dapat watak yang jauh beza atau mencabar memang akan buat saya gembira,” katanya.
Seadanya Kita arahan Feroz Kader dan diterbitkan Global Film Station mula ditayangkan di Viu pada 7 Ogos lalu dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.
Drama romantik 15 episod tersebut turut dibintangi Mierul Aiman, Shahz Jaszle, Nelissa Hilman dan Mikael Noah.