“AINA puas.”
Demikian luahan penyanyi, Aina Abdul yang menzahirkan kesyukuran atas tujuh tahun perjalanan manisnya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Aina atau nama Nurul Aina Abdul Ghani, 3p2, meluahkan perasaan gembira itu selepas berpeluang berkarya mengikut visi dan cita rasa sendiri sepanjang bertanding.
Katanya, pentas berprestij berkenaan sebagai ruang untuk dirinya berkongsi naskhah yang ikhlas dari hati tanpa terlalu memikirkan hasil seni dipersembahkan ramai.
“Di pentas inilah saya dapat berkarya dengan sepenuh hati. Sama ada diterima atau tidak, sekurang-kurangnya saya dapat berkongsi visi,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Penyanyi lagu Satu itu tidak ketinggalan menitipkan pesanan kepada peminatnya agar berani memilih perkara yang membahagiakan diri sendiri serta berdiri teguh dengan keputusan dibuat.
“Lakukan apa yang membuatkan anda paling bahagia, bukan apa yang orang lain fikir anda patut lakukan dan pertahankan pendirian itu,” ujarnya.
Menerusi perkongsian sama,
Aina turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang menyokong perjalanannya di pertandingan berprestij itu yang turut dianggap antara platform penting dalam perkembangan karier seninya.
“Terima kasih kerana menjadikan tujuh tahun Aina di AJL penuh dengan keberkatan. Terima kasih. Kita jumpa nanti,” katanya.
Perkongsian tersebut dilihat pengikutnya sebagai refleksi pengembaraan panjang penyanyi merangkap komposer terbabit di AJL, terutama dalam mempertahankan identiti seni dan visi kreatif yang sering menjadi perhatian setiap kali muncul bertanding.
Sepanjang berkarya, Aina dikenali dengan persembahan yang sarat elemen dramatik, fesyen unik serta konsep visual berani, sekali gus menjadikannya antara penyanyi yang sering dinantikan di AJL.
Biarpun ada antara karya atau persembahan mungkin tidak menepati selera semua pihak, Aina menegaskan perkara paling penting baginya adalah kepuasan apabila dapat menerjemahkan idea dan karya mengikut acuan sendiri.
Terdahulu, pada acara kemuncak AJL40, baru-baru ini, Aina menghidupkan lagu Kamu menerusi persembahan dramatik dengan visual gunung berapi sedang membuak menggambarkan emosi yang memuncak.
Pada malam itu, Aina merangkul Persembahan Terbaik dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee hasil undian peminat selain terpilih mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026 pada November depan.
Terdahulu, penyanyi kecil molelk itu
mencipta rekod tersendiri menerusi kemenangan trofi Vokal Terbaik selama tiga tahun berturut-turut pada AJL36, AJL37 dan AJL38.
Malah, dia melengkapkan koleksi trofi AJL selepas dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi Puas Sudah pada AJL39, Februari tahun lalu.
Rekod cemerlang itu turut merangkumi gelaran Juara Lagu menerusi Terus Hidup pada AJL37, Naib Juara (Semalam) pada AJL35 serta tempat ketiga (Jangan Mati Rasa Itu) pada AJL38. – HIBGLAM
