‘Komen tak boleh brutal sangat, mereka buat kerja amal’

JIKA ditanya program apa yang paling dinanti-nanti ramai ketika ini, jawapan yang diberikan khalayak pastinya Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26).

Seramai 10 selebriti terkenal tanah air  bakal mewarnai hujung minggu khalayak bermula 22 Ogos ini (Sabtu) iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Mubarak Majid, Fazlina Ahmad Daud, Katy Azean (Khaty Azian), Rahim Omar, Maria Tunku Sabri, Zila Bakarin, Amyza Aznan dan Rashdan Baba.

Menurut Pengurus Saluran Astro, Idlan Zahari, format KES26 adalah menyerlahkan sisi berbeza dan bakat nyanyian selebriti terpilih yang selama ini tidak pernah dipertontonkan kepada umum.

“KE kali ini khas untuk selebriti yang bukan terdiri daripada penyanyi profesional, berumur 49 tahun ke atas atau tidak pernah mengeluarkan single.

“Kami mahu angkat lagi selebriti terutama mereka yang masih lagi bekerja keras dan terus berlakon di set penggambaran sampai lewat malam. Mereka itu yang kami akan ketengahkan dalam KES26.

Dengan adanya pentas ini, mereka akan persembahkan minat dalam bidang nyanyian yang selama ini kita semua tak pernah lihat pun,” katanya.

Bukan hiburan semata-mata, KES26 yang bakal dihoskan Raja Azura dan Keanu Azman turut mengetengahkan konsep beramal sambil berhibur.

“Kami juga akan mempersembahkan segmen baharu iaitu memberi semula kepada golongan memerlukan terutama anak seni yang bergelut untuk mencari pendapatan bagi menyara kehidupan seharian.

“Hadiah mingguan yang akan diterima peserta akan disalurkan kepada artis-artis veteran yang memerlukan,” katanya lagi.

Dari segi penjurian, markah majoriti setiap peserta akan diadili berdasarkan persembahan nyanyian pada setiap minggu.

“Juri tetap yang kami umumkan buat masa ini adalah Datuk Yusry Abd. Halim dan Jihan Muse. Mereka akan menilai daripada pelbagai aspek tetapi paling utama adalah nyanyian.

“Namun markah bukan hanya daripada juri tetapi juga undian penonton. Setiap penyingkiran nanti adalah berasaskan dua markah tersebut.

“Kami berharap KES26 akan menjadi program yang menghiburkan penonton yang dalam masa sama bakal menyaksikan bagaimana para peserta bekerja keras untuk memberikan persembahan hebat setiap minggu,” tuturnya.

Juri

Bakal mengadili barisan selebriti yang lebih senior daripadanya, Yusry berkata, dia akan memberi fokus kepada perkara yang mampu menambah baik persembahan berbanding mencari kesalahan peserta.

Ujarnya, dia juga tidak akan terlalu menekankan hal-hal yang terlalu teknikal dalam nyanyian memandangkan para peserta bukan daripada latar belakang seorang penyanyi.

Melihat senarai peserta yang bertanding, sudah boleh jangka program ini akan sangat menyeronokkan.

“Kalau orang nak jangka komen daripada saya, mungkin saya akan lebih fokus memberi pandangan dan input bagaimana nak buat persembahan mereka lebih menarik pada minggu berikutnya.

“Komen pun tidaklah boleh ‘brutal’ sangat sebab persembahan mereka adalah kerja amal, mahu menyumbang kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Katanya, beberapa selebriti yang bertanding juga pernah bekerja di bawah filem atau drama arahannya sebelum dan mengakui segelintir mereka mempunyai minat dalam bidang nyanyian.

“Saya rasa konsep kali ini sangat ‘fun’, ini adalah platform untuk selebriti menyumbangkan suara sambil menyalurkan dana.

“Dalam masa saya, saya juga tak mahu letakkan sebarang jangkaan tinggi dan mahu membiarkan peserta memberi kejutan untuk setiap persembahan,” ujarnya.

Ditanya tentang pendekatan sama ada akan lebih berhati-hati dalam memberi komen terhadap selebriti bertanding, Yusry menegaskan bahawa akan menjalankan tugas secara profesional, namun tidak berlebih-lebihan.

“Sebagai juri, saya ada hak bercakap mengenai pendapat tetapi secara berlapiklah sebab hormat dengan semua peserta yang terlibat.

“Sebelum ini, bila jadi juri pun saya tidaklah beri komen terlalu kejam dan selalu berlapik.

“Mungkin setiap yang akan diperkatakan itu biarlah bersebab tetapi dalam masa yang sama tak boleh terlalu kasar sebab orang lama agak sensitif.

“Perlu hati-hati agar tak menggores perasaan,” jelasnya.

 

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok