ACARA Latiha Pestapora, sebuah festival muzik paling hype di Indonesia yang singgah berlabuh di Malaysia pada Sabtu lalu hadir meninggalkan banyak impak.
Lebih 20,000 penonton sanggup berperang fizikal dan emosi menyaksikan band atau penyanyi kegemaran mereka, terutama kumpulan Sheila On 7 (SO7) yang lama tidak berkunjung ke Kuala Lumpur.
Selepas diumumkan kehadiran SO7 ke negara ini, peminat mula tidak senang duduk menantikan kumpulan ikonik itu muncul mengubat rindu setelah tujuh tahun tidak mengadakan persembahan di sini.
Dalam tidak sedar, rupa-rupanya ada beberapa band Indonesia lagi di fiesta terbabit yang mempunyai kelompok peminat sangat besar di Malaysia.
HibGlam menyenaraikan beberapa kumpulan negara seberang yang pernah mencipta fenomena sekali gus mengumpul ribuan penonton Malaysia.
Sheila On 7
DITUBUHKAN pada 1996 di Yogyakarta, Jakarta, kumpulan dengan akronin SO7 itu mula dikenali sekitar penghujung 1990-an selepas melancarkan album pertama pada 1999.
Nama Sheila berasal daripada seorang rakan perempuan mereka dan On 7 merujuk kepada tujuh tangga muzik dalam notasi.
SO7 dianggotai vokalisnya iaitu Duta, Eross Candra (gitar utama) dan Adam Subarkah (bass).
Lirik mereka sederhana, jujur dan puitis, menjadikan SO7 diingati dan menyentuh emosi sehingga berjaya mengekalkan gaya unik meskipun tren muzik berubah.
Selain di Indonesia dan Malaysia, SO7 memiliki penggemar setia dari Brunei serta Singapura, malah tiket konsert mereka sering sold out (habis terjual) walaupun tanpa promosi besar. Antara sebab SO7 disanjung, mereka tidak pernah mengejar sensasi atau kontroversi sebaliknya lebih memilih fokus pada muzik dan menjauhi gimik aneh.
Dewa 19
SEKUMPULAN jejaka berbakat yang sangat meminati rock menubuhkan kumpulan Dewa 19 pada 1986 di Surabaya, Indonesia.
Nama Dewa berasal daripada nama panggilan pengasasnya, Ahmad Dhani, manakala angka 19 mewakili umur mereka ketika band tersebut ditubuhkan secara rasmi.
Pada awal 1990-an, kumpulan itu mempunyai lima orang ahli iaitu Ahmad Dhani (keyboard, vokal latar), Andra Ramadhan (gitar), Erwin Prasetya (bass), Wawan Juniarso (dram) dan Ari Lasso (vokalis utama).
Namun sekitar 2000, beberapa ahli bertukar kepada Once Mekel (vokalis), Tyo Nugros (dram) dan Yuke Sampurna (bass).
Difahamkan, Ari Lasso kembali bergabung dengan Dewa 19 sebagai vokalis utama sejak 2013.
Virzha bergabung sebagai vokalis Utama sejak 2020, manakala Marcello Tahitoe sebagai vokalis undangan pada tahun 2022.
Ahmad Dhani sesekali tampil sebagai vokalis utama dan anaknya, Al Ghazali juga pernah menjadi vokalis sementara pada sekitar 2024 menggantikan Marcello dan Virzha yang banyak urusan lain.
Dewa 19 mencipta fenomena apabila album mereka berjudul Bintang Lima (2000) terjual lebih 1.7 juta unit iaitu antara naskhah terlaris Indonesia.
NOAH (Peterpan)
NOAH pada asalnya dikenali sebagai Peterpan, sebuah band yang ditubuhkan pada 2000 di Bandung, Indonesia.
Mereka mula meraih populariti sekitar tahun 2003 selepas kejayaan album Taman Langit.
Setelah melalui pelbagai perubahan termasuk masalah hak cipta nama dan pertukaran ahli, Peterpan secara rasmi menjadi NOAH pada tahun 2012.
Vokalisnya, Ariel sering disebut sebagai antara vokalis terbaik Indoensia kerana miliki suara yang unik.
NOAH mempunyai pengikut yang sangat besar di Malaysia, Singapura, dan Brunei bahkan lagu mereka sering diputarkan di radio tempatan dan dijadikan latar drama Melayu.
Ungu
NAMA kumpulan Ungu dipilih kerana warna tersebut dianggap simbol keanggunan dan ketenangan, selari dengan gaya muzik mereka yang cenderung kepada unsur emosi dan spiritual.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 itu mempunyai lima orang ahli iaitu Pasha (vokalis), Enda (gitaris), Onci (gitaris), Makki (bass) dan Rowman (pemain dram).
Kehebatan Ungu dibuktikan melalui penjualan album Melayang (2005) yang terjual ebih 350,000 unit dalam beberapa minggu.
Namun, Ungu berehat dari industri muzik selepas Pasha fokus dalam dunia politik sekitar tahun 2016 sehingga 2021.
Kini, Ungu kembali aktif dengan rancak merealisasikan konsert di Indonesia termasuk di Malaysia pada 12 Julai lalu. – HIBGLAM