4 hari tayang, Ejen Ali The Movie 2 raih RM15.3 juta

HANYA dalam empat hari tayangan, filem aksi animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini meledak dengan kutipan RM15.3 juta termasuk tayangan awal sejak 22 Mei lalu.

Ditayangkan di 161 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei, filem arahan Usamah Zaid Yasin membuktikan adiwira kecil tempatan masih menjadi pilihan utama peminat yang teruja dengan kepulangan Ejen Ali ke layar perak.

Alhamdulillah, sejak sesi ‘Fans Screening’ sehingga ke tayangan rasmi di pawagam, sokongan yang kami terima sangat luar biasa,” kata Usamah.

Menggalas cabaran sebagai sutradara dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah mengambil kesemua maklum balas untuk dijadikan pembakar semangat buatnya bagi menghasilkan naskhah animasi terbaik pada masa akan datang.

Bagi pihak produksi, kami berasa amat terharu dan gembira setiap kali membaca komen serta maklum balas daripada penonton.

“Semua itu sangat bermakna buat kami dan lebih menggalakkan kami sebagai pengkarya untuk terus mengusahakan naskhah Ejen Ali akan datang,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Tayangan EATM2 dijangka akan mencatat angka yang lebih tinggi apabila musim cuti sekolah bermula 29 Mei ini.

Difahamkan, tiket terjual pantas di pelbagai lokasi dan beberapa pawagam mula menambah sesi tayangan bagi memenuhi permintaan penonton.

Filem animasi terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dan WAU Animation itu kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Brunei sejak 22 Mei lalu.

Berlatarkan kota futuristik Cyberjaya, hero cilik Ali kini menyertai program SATRIA, gabungan manusia dan kecerdasan buatan (AI) menerusi sut berteknologi tinggi bagi menghapuskan ancaman yang lebih besar, termasuk kehadiran Neonimus, penggodam penuh dendam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok