‘Kredit kepada Mierul, dialah jantung, ketua kami’ 

BUKAN semua impian hadir sebaik doa dipanjatkan. Ada impian memaksa seseorang menelan pahit kecewa terlebih dahulu sebelum berjaya membuka pintu lebih besar.

Begitulah perjalanan pelakon meningkat naik, Dai Fuad apabila kegagalan menembusi filem Kahar: Kapla High Council akhirnya menjadi titik tolak meraih peluang lebih bermakna menerusi naskhah Kudrat 1968.

Berkali-kali mencuba dan enggan tunduk mengibarkan bendera putih, jejaka berusia 34 tahun itu bersyukur apabila diberi kepercayaan membawakan watak Pa dalam karya terbaharu itu.

Peluang tersebut ibarat penawar luka lama selepas terkandas pada peringkat akhir uji bakat Kahar: Kapla High Council tahun lalu meski sudah berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik.

Menurutnya, kegagalan tersebut cukup berat untuk diterimanya kerana hanya selangkah lagi impian untuk menjadi sebahagian daripada francais High Council menjadi kenyataan.

“Saya menghadiri uji bakat Kahar sehingga peringkat keempat dan berjaya berada dalam kelompok lima terbaik. Akhirnya saya dimaklumkan tidak terpilih, tetapi penerbit filem itu pesan supaya jangan sesekali berputus asa.

Sudah tentu saya kecewa kerana berada begitu hampir. Hanya sedikit sahaja lagi untuk menjadi sebahagian daripada francais itu.

“Sejak menonton episod pertama Projek: High Council, saya sudah berazam dalam hati mahu bekerja dengan pasukan di sebalik karya hebat itu. Alhamdulillah, akhirnya impian besar saya dimakbulkan menerusi Kudrat 1968,” katanya kepada HibGlam.

Mengakui memikul tekanan besar, Dai Fuad sedar setiap langkah dalam naskhah berprofil tinggi seumpama itu pasti menjadi perhatian, lebih-lebih lagi apabila karya tempatan kini turut bersaing dengan lambakan drama dan filem antarabangsa di platform penstriman.

“Sudah tentu saya berasa tertekan kerana ini siri ditunggu ramai. Setiap karya dalam dunia High Council sentiasa menaikkan penanda aras.

Hari ini kita bukan lagi bersaing sesama karya tempatan, sebaliknya berdepan naskhah antarabangsa kerana penonton mempunyai banyak pilihan.

“Saya percaya Kudrat 1968 di bawah sentuhan pengarah Ika, Pasal Productions dan Astro mampu mencapai standard sangat tinggi,” ujarnya.

TIDAK kenal erti putus asa, hasrat Dai Fuad (tiga dari kiri) untuk menjadi sebahagian daripada francais High Council akhirnya menjadi realiti menerusi Qudrat 1968 sekali gus menghapus rasa terkilan di hati selama ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang itu turut menzahirkan penghargaan kepada pelakon Mierul Aiman yang disifatkan sebagai tunjang utama sepanjang penggambaran kerana banyak membimbing barisan pelakon baharu mengekalkan standard francais tersebut.

“Saya perlu memberi kredit kepada Mierul. Bagi saya, dialah jantung dan ketua pasukan kami.

Sejak hari pertama sesi bacaan skrip, dia sudah menetapkan tahap lakonan perlu kami capai. Tiada istilah mencuba-cuba, sebaliknya kami perlu memberikan seratus peratus atau tiada apa-apa.

“Semangat dan dorongan diberikan banyak membantu saya menghidupkan watak Pa,” jelasnya.

Dalam masa sama, pelakon drama Good Boys Go To Heaven itu tidak menafikan berdepan cabaran meninggalkan bayangan watak Nahar, karakter popular lakonannya sebelum ini.

Sejujurnya saya sendiri masih belum dapat melupakan Nahar kerana terlalu menyayangi watak itu. Dalam dunia lakonan, kami perlu mengunci dan membersihkan karakter lama sebelum menghidupkan watak baharu. Saya masih belajar proses tersebut.

“Syukur ada pasukan hebat, terutama jurulatih lakonan kami membantu memecahkan karakter Nahar sebelum membina Pa dari awal. Tanpa bimbingan mereka, mungkin saya sukar membezakan kedua-dua watak,” tutupnya.

Selain Dai Fuad dan Mierul, Kudrat 1968 turut dibintangi Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Evertts Gomes serta Chech Harith.

Diterbitkan Astro Shaw bersama ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan HM Entertainment, Kudrat 1968 bakal menemui penonton tahun ini dalam dua format iaitu empat episod drama sebelum diteruskan ke layar perak.

Karya tersebut mengisahkan seorang pelajar dipaksa memasuki institusi dibina atas nama bapanya sebelum berdepan dilema besar sama ada mempertahankan sistem sedia ada atau menjadi insan meruntuhkan legasi tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok