‘Selagi filem bagus, skrip kuat saya akan kembali’

SINONIM dengan genre romantik komedi, aktor Indonesia, Adipati Dolken mula mencuri perhatian peminat tempatan selepas membintangi filem Mojoku Hilang! yang ditayangkan pada 23 Julai lalu.

Kemunculannya dalam naskhah terbabit bukan hanya menghidupkan watak, malah membuka ruang buat peminat Malaysia mengenali lebih dekat susuk pemilik nama sebenar Adipati Koesmadji itu.

Memulakan langkah dalam dunia seni sejak usia remaja, Adipati perlahan-lahan meninggalkan imej sekadar idola remaja sebelum menjelma sebagai antara pelakon berkarakter paling disegani di Indonesia.

Dedikasi tinggi, keberanian menyelami watak mencabar serta kematangan seni membuktikan pesona Adipati tidak lagi bersandar pada rupa paras semata-mata, sebaliknya terletak pada mutu lakonan.

Pemenang Piala Citra pada Festival Film Indonesia (FFI) 2013 itu juga dilihat semakin selektif dalam memilih karya, sekali gus memperlihatkan perkembangan seorang aktor daripada bintang remaja kepada pelakon berkaliber.

Dalam temu bual bersama HibGlam, jejaka berusia 34 tahun itu terbuka berkongsi pengalaman bekerja di Malaysia, perbezaan suasana produksi kedua-dua negara, kecintaannya terhadap haiwan serta sisi cerewet apabila berdepan soal makanan.

HIBGLAM: Adi, selepas terlibat dalam filem Mojoku Hilang!, adakah anda bersedia menerima tawaran berlakon di Malaysia lagi selepas ini?

ADIPATI: Sudah tentu. Saya sangat terbuka untuk itu. Kalau ada kesempatan lagi, saya tidak akan menolaknya selagi filem berkenaan bagus, skripnya kuat dan memenuhi kriteria dalam senarai pilihan saya.

Saya terbuka kepada setiap peluang, terutama jika projek itu mampu memberikan sesuatu kepada saya sebagai pelakon dan pada masa sama menawarkan karya berkualiti kepada penonton.

Mungkin anda boleh kongsikan perbezaan pengalaman berlakon di Malaysia, khususnya dari segi sistem serta produksi?

Dari segi sistem, perbezaan paling ketara adalah jumlah kru. Di Indonesia, sesebuah produksi boleh mempunyai jumlah kru sangat ramai, malah mencecah 200 hingga 300 orang. Di Malaysia, berdasarkan pengalaman saya, jumlahnya kurang daripada 100 orang. Jadi, pasukan produksi di sini lebih kecil dan sangat padat.

Pada awalnya, saya berasakan ini satu gaya penggambaran berbeza. Namun begitu, semuanya berjalan lancar. Walaupun jumlah kru tidak seramai di Indonesia, kerja tetap dapat dilaksanakan dengan baik.

Bagi saya, jumlah kru bukan ukuran utama. Pasukan kecil tetapi tersusun juga mampu menghasilkan kerja sama baik. Jadi, mengapa tidak?

Selain sistem produksi, bagaimana pula dengan perbezaan budaya ketika bekerja di Malaysia?

Budaya juga agak berbeza. Bagi saya, semuanya berkaitan hubungan dan cara kita membina keserasian. Paling penting adalah bagaimana kita berhubung serta membina ‘chemistry’ baik bersama semua orang dalam pasukan.

Jadi, sama ada saya berada di Indonesia, Malaysia atau mana-mana negara sekalipun, selagi hubungan itu wujud, saya sangat terbuka untuk terus bekerja.

Dalam Mojoku Hilang!, anda turut berlakon bersama lembu. Adakah anda memang seorang pencinta haiwan?

Saya memang pencinta haiwan. Saya mempunyai seekor anjing. Dahulu saya ada dua ekor, tetapi sekarang tinggal seekor sahaja. Sejak kecil, saya memang sudah biasa membela haiwan. Saya juga suka menunggang kuda dan berinteraksi dengan haiwan.

Jadi, apabila mendapat peluang berlakon bersama lembu dalam filem ini, saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang terlalu asing. Saya memang selesa berada dekat dengan haiwan.

Anda pernah datang ke Malaysia sebelum ini. Bagaimana pula dengan makanan tempatan? Ada makanan kegemaran?

Sebenarnya, saya sangat cerewet tentang makanan. Kalau saya tidak suka sesuatu makanan, saya memang tidak akan makan. Saya juga tidak begitu menggemari kari atau makanan dengan terlalu banyak rempah. Jadi, apabila dihidangkan makanan sebegitu, saya akan terus terfikir, ‘Saya tidak boleh makan ini.’

Banyak hari ketika berada di sini, saya hanya makan makanan sama kerana pilihan saya agak terhad. Saya akan pilih makanan paling ringkas dan makan itu sahaja. Tetapi ada juga hikmahnya. Keadaan ini membuatkan saya berdiet. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok