‘Saya malu, tak banyak tahu tentang Karamjit Singh’

PADA 2002, nama Malaysia mekar di pentas sukan permotoran antarabangsa apabila anak tempatan, Karamjit Singh menjuarai FIA Production Car World Rally Championship (PWRC) menerusi percubaan pertamanya.

Kejayaan cemerlang bergelar juara dunia itu bukan sahaja melonjakkan namanya, malah berjaya meletakkan nama Malaysia di peta sukan rali antarabangsa.

Setelah dua dekad berlalu, kisah kejayaan dan kecekalan ikon sukan rali negara itu bakal diangkat ke layar perak menerusi filem biopik Terbang yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 17 September depan.

Menerusi naskah itu, pelakon Irfan Zaini apabila diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai Karamjit Singh.

Takut

Menyedari diri masih ‘hijau’ Irfan mengakui pada mulanya dia dihantui perasaan gementar menggalas tanggungjawab besar itu apatah lagi ini kemunculan sulungnya sebagai hero filem Melayu.

MENGHIDUPKAN watak Karamjit bukan sesuatu yang mudah buat Irfan apatah lagi dia perlu memandu kereta sebenar yang digunakan ikon sukan rali negara itu  ketika  menjuarai kejohanan dunia pada 2002.

“Ketika mula-mula ditawarkan watak ini, rasa takut sangat sebab ini filem Melayu pertama saya jadi hero. Tanggungjawab ini sangat besar.

Lebih gementar naskhah ini mengenai kisah hidup legenda wira Malaysia, Karamjit Singh.

“Bagi saya amanah ini sangat berat. Risau dibuatnya tetapi selepas dapat pertolongan daripada pasukan produksi Terbang dan pelakon lain seperti Zizan dan Jack Tan, saya  okey,” katanya kepada HibGlam.

Selain memikul watak hero, pelakon berusia 31 tahun itu mengakui mengendalikan kenderaan rali bukan satu tugas mudah.

“Selain lakonan, saya kena nampak macam pro (mahir) bawa kereta rali sebab ini bukan jentera biasa, memang susah.

Walaupun berlakon, saya kena fokus juga. Perlu tahu macam mana nak tukar gear, bila nak tekan brek dan bagaimana kawal kereta.

“Jadi, saya mengikuti sesi latihan hampir dua bulan dengan pasukan Karamjit. Ada beberapa ‘stunt’ yang saya buat sendiri tapi tak sama macam Karamjit,” jelasnya.

Pandu kereta rali

Lebih mencabar, sepanjang proses penggambaran Irfan dikehendaki memandu kereta rali asli yang pernah digunakan Karamjit ketika menjuarai kejohanan dunia pada 2002.

“Benda paling susah kereta yang saya pandu dalam filem adalah kereta sebenar yang Karamjit guna masa perlumbaan.

Kereta itu sudah lama, teknologi semua lama. Jadi, cara pemanduan susah sikit sebab kereta rali yang baharu, teknologinya dah berkembang.

“Disebabkan kereta itu daripada 2002, saya terpaksa belajar cara memandu dengan teknik manual yang lama. Benda itu agak susah.

“Hasil bimbingan Karamjit dan pasukan, saya dapat buat seperti mana yang pengarah harapkan,” ujarnya.

MENGANGKAT kisah hebat Karamjit Singh di litar antarabangsa, filem Terbang  diharap dapat membuka mata orang ramai terhadap sumbangan besar tokoh sukan itu yang berjaya mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

Pada masa sama, pelakon filem Blood Brothers itu mengambil kesempatan bertanyakan pelbagai soalan secara terus kepada Karamjit bagi menyelami emosi, psikologi, serta motivasi seorang pelumba bertaraf dunia ketika beraksi di litar.

Malah, dia mengakui berasa malu kerana sebelum ini kurang ambil tahu impak besar kejayaan Karamjit di peringkat antarabangsa dan berharap orang ramai cakna dengan sumbangan wira negara itu.

Disebabkan watak ini diinspirasikan daripada kisah benar Karamjit, saya bertanya terus kepadanya mengenai selok-belok sukan rali. Saya cuba selami apa perasaan dia apabila memandu pada kelajuan maksima, ketika menang dan apa pendorongnya untuk berlumba.

“Saya kenal Karamjit serba sedikit sahaja. Dia ‘stuntman’ terbaik dan hebat sebagai pelumba rali tapi saya tidak tahu mengenai dunia ‘championship’ serta betapa besarnya nama dia di luar negara.

Kita sepatutnya bangga ada Karamjit. Saya rasa malu sebab ada banyak yang saya tak tahu mengenai dirinya.

“Selepas jadi dirinya dalam filem ini, saya harap sangat semua rakyat Malaysia menghargai Karamjit,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok