148
MENEPATI ramalan, Zoe Saldana yang membawakan watak peguam menerusi filem Emilia Perez memenangi kategori Aktres Pembantu Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-97, hari ini.
Pelakon asal New Jersey, AS, berusia 47 tahun itu menewaskan Monica Barbaro daripada filem A Complete Unknown, Ariana Grande (Wicked), Felicity Jones (The Brutalist) serta Isabella Rossellini (Conclave).
Sekali gus, ini adalah Oscar pertamanya selepas 25 tahun mendedikasikan sebahagian daripada hidupnya kepada dunia seni.
Lebih manis apabila kemenangan tersebut juga menjadikan wanita terbabit sebagai penerima Oscar pertama yang berasal dari keturunan Dominica.
Dalam ucapannya, Saldana mengucapkan terima kasih kepada nenek moyangnya kerana membuka jalan bagi kerjaya lakonan di Amerika Syarikat (AS).
“Nenek saya datang ke negara ini pada 1961. Saya adalah anak yang bangga dengan ibu bapa dalam kalangan pendatang.
Dengan impian, maruah dan kerja keras, saya orang AS pertama dari Dominica menerima anugerah ini. Saya tahu saya tidak akan menjadi yang terakhir. Saya harap begitu.
“Saya menerima anugerah untuk peranan di mana perlu menyanyi dan bercakap dalam bahasa Sepanyol. Jika nenek saya masih ada, dia pasti sangat gembira. Trofi ini untuk nenek saya. Terima kasih,” katanya.
Sambil menitiskan air mata, Saldana juga terharu dapat berkongsi detik bersejarah itu bersama ibunya yang turut berada Dolby Theatre, Los Angeles.
Ibu saya ada di sini, seluruh keluarga saya juga berada di sini. Saya sungguh terharu dengan pengiktirafan diberikan.
“Terima kasih Akademi kerana mempercayai kuasa wanita dan heroisme yang dimiliki watak Rita,” ujarnya.
Emilia Perez terbitan Netflix berkisar mengenai bekas ketua kartel yang mengubah penampilan sebagai wanita cuba mendapatkan khidmat peguam lakonan Saldana.
Selain Saldana, filem genre komedi muzikal arahan Jacques Audiard itu turut membariskan Karla Sofía Gascón, Selena Gomez, Adriana Paz, Mark Ivanir dan Édgar Ramírez.
Saldana sebelum ini diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Golden Globes menerusi filem sama pada Januari lalu. – HIBGLAM.