PELAKON dan usahawan, Rozita Che Wan dilaporkan pernah melunaskan pinjaman hutang sebanyak RM50,000 kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut sumber boleh dipercayai, tidak dapat dipastikan bila bayaran tersebut dibuat Rozita atau nama sebenarnya, Rozita Abu Bakar, 51.
“Che Ta pernah bayar RM50,000 dulu, tapi tak dapat dipastikan bila dan tahunnya,” kata sumber terbabit.
Difahamkan, Rozita yang mesra disapa Che Ta turut melunaskan bayaran semalam di pejabat Mara, namun tidak dapat dipastikan amaun yang dibayar.
Semalam, acara lelongan awam barangan milik pelakon drama Kiah Perkasam itu sepatutnya diadakan di banglo selebriti berkenaan di Kota Damansara, namun ditangguhkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak disebabkan pembayaran sejumlah wang oleh Che Ta.
Lelongan tersebut membabitkan 34 barangan termasuk sebuah kereta SUV jenama Haval.
Selain itu, antara barangan lain yang bakal dilelong adalah peti ais, pendingin hawa, ketuhar, seterika, gelombang mikro, mesin basuh, mesin pengering, vakum dan televisyen.
Bahkan, terdapat juga perabot dan beberapa peralatan lain yang bakal dilelong kepada orang awam.
Pada 10 Disember lalu, kediaman usahawan terbabit dilaporkan diserbu pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, Che Ta membuat pinjaman dengan agensi berkenaan pada 2017.
Selepas itu, bahagian undang-undang Mara dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.
Dikatakan, pinjaman Mara berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya itu sebagai penjamin. – HIBGLAM