PELAKON terkenal Pamela Anderson mengesahkan tidak akan kembali membintangi siri reboot Baywatch yang sedang dalam pembikinan, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemunculannya semula sebagai watak ikonik C.J. Parker.
Menurut Anderson, pihak produksi langsung tidak pernah menghubunginya untuk menyertai projek yang dijadualkan menemui penonton pada Januari 2027.
Tiada siapa yang menghubungi saya. Saya juga tidak tahu banyak mengenai projek itu,” katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.
Bagaimanapun, bintang yang membintangi Baywatch dari 1992 hingga 1997 itu mendedahkan pernah mendengar bahawa pasukan produksi ada berbincang dengan dua anak lelakinya mengenai kemungkinan mereka terlibat sebagai penerbit, namun perbincangan tersebut dikatakan tidak mencapai kata sepakat.
Saya tahu mereka ada bercakap dengan anak-anak saya mengenai penerbitan, tetapi nampaknya tiada persetujuan dicapai. Saya tidak tahu apa yang berlaku, namun saya doakan yang terbaik buat mereka,” ujarnya.
Walaupun enggan menyertai reboot tersebut, Anderson, 59, mengakui masih menyimpan kenangan manis sepanjang membintangi siri yang melonjakkan namanya ke persada antarabangsa, namun menegaskan dia tidak bercadang menghidupkan semula watak C.J. Parker.
Ketika ini, Anderson memilih memberi tumpuan kepada watak-watak baharu selepas menerima pujian menerusi filem The Last Showgirl yang melayakkannya dicalonkan ke Anugerah Golden Globe.
Selain itu, Anderson turut membintangi filem komedi gelap Rosebush Pruning dan tidak menolak kemungkinan kembali beraksi di pentas teater. – HIBGLAM
