Mydin izin Khairul Aming ambil barang bantu mangsa banjir

USAHA murni pempengaruh terkenal Khairul Aming untuk membantu mangsa banjir di Kelantan mendapat perhatian usahawan syarikat pemborong dan peruncit, Mohamed Holdings Berhad (Mydin).

Menerusi sebuah video yang tular menerusi TikTok, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin telah memberi kebenaran kepada Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, untuk mengambil barangan keperluan di premis miliknya.

“Awak boleh ambil barang seberapa awak mahu, tidak perlu hantar budak, kad kredit atau apa saja.

Awak hanya maklumkan kepada saya had jumlah barangan. Sebagai contoh RM20,000, RM50,000 atau RM100,000. Nanti selepas banjir boleh bayar. Saya percaya dengan Khairul Aming,” katanya.

Kerjasama antara Khairul dan usahawan tersebut secara tidak langsung dapat meringankan beban penduduk Kelantan yang terjejas akibat banjir.

Malah, beberapa pengguna media sosial turut meluahkan rasa bangga dengan tindakan Khairul menggunakan popularitinya untuk membantu golongan memerlukan.

Masya-Allah, memang pantas dan terbaik. Mengalahkan orang politik sibuk dia. Macam ini baru betul dinamakan pempengaruh. Bukan sekadar buat kandungan syok sendiri.

“Bangga dengan tindakan mereka berdua. Semoga dipermudahkan urusan untuk membantu mangsa banjir.

“Kalian mari kita terus sokong Khairul Aming. Memang terbaik,” antara komen netizen di media sosial.

Difahamkan keadaan banjir di negeri itu semakin buruk apabila berlaku peningkat jumlah mangsa di Tumpat dan Pasir Puteh menjadikan angka keseluruhan hampir 100,000 orang.

Menurut maklumat InfoBencana JKM (Jabatan Kebajikan Malaysia) setakat pukul 7.30 pagi tadi mendapati seramai 85,824 mangsa membabitkan 26,799 yang berada di 251 pusat pemindahan sementara (PPS). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok