Setahun bercinta, Ailee kahwin tahun depan

BAHAGIA diulit cinta, penyanyi Ailee bakal melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya, Choi Si Hoon pada 20 April 2025.

Khabar gembira itu disahkan syarikat pengurusan Ailee, A2G Entertainment yang memaklumkan pasangan tersebut sepakat untuk berumah tangga selepas setahun mengenali hati budi masing-masing.

Selepas berkenalan dan bercinta selama setahun mereka memutuskan untuk berkahwin atas dasar cinta dan rasa percaya yang mendalam. 

“Keputusan itu dibuat selepas mendapat restu keluaga,” kata wakil agensi. 

Penyanyi berusia 35 tahun itu turut menzahirkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan pasangan yang memahami dan menyayangi dirinya.

“Kefahaman dan kebijaksanaannya membuatkan saya ingin menghabiskan sisa hidup bersamanya.

“Saya berjanji akan terus berkarya dan menghiburkan peminat.

Tolong sokong masa depan saya dan bakal suami. Kami akan hidup bahagia selama-lamanya,” ujarnya.

Choi Si-hoon dikenali sebagai usahawan dan pernah mencuri perhatian menerusi rancangan popular Single’s Inferno.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok