[VIDEO] ‘Perselisihan faham kecil, berlaku di bulan mengambang’

Tenang menghadapi ujian bertimpa, pelakon Farid Kamil menyifatkan kemelut rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle hanya perselisihan faham yang sangat kecil.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai asam garam perkahwinan, Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43, berkata, apa yang berlaku antara mereka berdua adalah perkara biasa dilalui pasangan suami isteri lain.

“Alhamdulillah saya dapat perkhabaran (keputusan bercerai) itu dengan baik dan saya masih sayangkan isteri dan anak-anak saya. Jadi bagi saya ini adalah isu biasa dalam rumah tangga. Apa yang penting sekarang ini mahu fokus pada penggambaran filem Bisikan Dosa.

“Saya akui fokus saya terganggu tapi apa yang saya boleh jelaskan di sini ada berlaku perselisihan faham sedikit dan perkara itu berlaku pada bulan mengambang.

“Tapi saya ambil perkara ini sebagai perkara yang positif. Biasalah, Tsunami pun dua kali berlaku, inikan ombak cinta dalam perkahwinan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Farid berkata demikian ketika ditemui pada lawatan media ke lokasi filem berkenaan yang kini sedang menjalani penggambaran di Kuang, Selangor selepas lima jam menunggu.

Kekal positif, pelakon filem Anwar Ibrahim: The Untold Story menerima dengan baik keputusan Diana untuk memfailkan perceraian malah bersedia memberikan komitmen terhadap proses yang bakal didepani kelak.

“Kali ini saya lebih bersedia. Saya anggap benda ini takdir Tuhan dan ini adalah qada dan qadar.

Masalah perkahwinan saya sama dengan perkahwinan sesiapa di Malaysia ini tapi bezanya mereka tak ditemubual begini,” jelasnya.

Farid juga mengakui dia dan Diana masih lagi berhubung dan tinggal sebumbung.

Pun begitu, dia memberitahu anak-anaknya tidak mengetahui apa yang berlaku antara dia dan Diana.

“Kami baru bercakap di telefon semalam, baru berhubung semalam dan baru bermesej semalam cuma malam saya tidur di lokasi penggambaran sebab shooting sampai pagi.

“Fasal anak-anak, mereka tidak tahu menahu, lagi pula untuk apa mereka tahu? Anak-anak saya tak baca benda gosip semua ini,” tegasnya.

Sejak Isnin lalu nama Farid kembali menjadi sebutan selepas isterinya, aktres Diana Danielle kembali nekad untuk memfailkan cerai.

Difahamkan, Farid berada di lokasi penggambaran tatkala Diana meluahkan hasrat tersebut menerusi satu hantaran dalam media sosial.

Pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. — HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok