PENYANYI dan peserta Big Stage Rocketfuel, Ranisha tidak kisah apabila fesyen yang digayakannya ketika membuat persembahan sejak beberapa minggu lalu didakwa meniru Aina Abdul.
Menurut Ranisha, dia tidak berniat untuk meniru sebaliknya menjadikan penampilan Aina sebagai inpirasi.
“Bagi saya itu satu bentuk penghormatan apabila disamakan dengan nama besar seperti Aina Abdul yang merupakan antara idola dalam bidang nyanyian.
“Kalau cakap tentang fesyen, semua orang boleh pakai apa sahaja dan saya menghargai karya semua pereka fesyen yang menyedikan busana untuk dipakai setiap minggu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam masa sama, dia mengakui kini berada dalam fasa mencari personaliti dan identiti sendiri bagi membantu menjual bakatnya selepas berakhir Big Stage Rocketfuel.
“Sejak kecil, saya memang mencari identiti. Jadi, fesyen dan visual yang bagus di atas pentas sangatlah penting malah untuk kekal relevan atau ingin orang kenal, kita kena buat sesuatu.
“Saya masih lagi mencari identiti itu, kalau ada rezeki ke final, mungkin saya akan temuinya.
“Saya kena terus berusaha dan anggap ini semua proses pembelajaran dalam Big Stage,” ujarnya.
Katanya, dia juga turut memberi cadangan untuk setiap busana yang akan dipakai setiap minggu kepada pihak produksi agar dapat mencapai visual yang diinginkan.
“Saya tidaklah terima bulat-bulat fesyen busana yang hendak dipakai setiap minggu.
“Ada akan beritahu visual yang diingini, warna pilihan, jenis material dan apa sahaja yang menyenangkan saya di atas pentas,” jelasnya.
Terdahulu, Ranisha berjaya merampas kedudukan tertinggi konsert suku akhir minggu lalu sekali gus melayakkannya ke peringkat separuh akhir bersama tujuh lagi peserta iaitu Adam Nazmie, Hussain, Qilo, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z dan Danial Kifli. – HIBGLAM
