‘Terima kasih daddy Fatima’ – Fazura terima kad daripada Fattah

Meskipun sedang melalui kemelut rumah tangga, pelakon Fattah Amin tidak terlepas menghantar hadiah dan ucapan istimewa sempena hari ulang tahun kelahiran isteri tercinta, Nur Fazura hari ini.

Menerusi foto yang dimuatnaik Fazura, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, mendoakan hal-hal baik untuk isterinya termasuk kebahagiaan daripada Allah SWT.

“Selamat hari lahir mommy.

“Daddy doakan pada hari kelahiran mommy, akan sentiasa gembira, dimurahkan rezeki, diberi perlindungan Allah dan kebahagiaan dunia serta di akhirat selama-lamanya,” tulisnya pada sekeping kad ucapan.

Bukan hanya kad dan ucapan, Fattah juga difahamkan turut mengirim sejambak bunga bertemakan warna merah jambu untuk Fazura.

“Terima kasih daddy Fatima,” jawab Fazura ringkas.

Hari ini sempena ulang tahun kelahiran ke-41, Fazura turut berjanji untuk lebih menyayangi dirinya.

Sebelum ini, Fazura dalam sebuah perkongsian di Instagram memaklumkan dirinya nekad mahu bercerai dengan suaminya, Fattah Amin demi mempertahankan maruah dan kesejahteraan hidup bersama anak mereka, Nur Fatima Aisya.

Pada Rabu lalu, Fattah dimaklumkan tidak bersetuju untuk melafazkan talak terhadap Fazura ketika proses perceraian mereka berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Bagaimanapun, mahkamah tersebut telah menangguhkan ke perceraian pasangan itu ke tarikh baharu, pada 7 Oktober depan.

Pada 13 September lalu, Fazura telah memfailkan perceraian di mahkamah yang sama sekaligus meleraikan segala spekulasi berkenaan rumah tangganya bersama Fattah.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Fatima. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok