Selebriti Korea Selatan mangsa ‘auta’ pengurus

PERANAN pengurus sangat penting bagi membantu memudahkan urusan kerja dan hidup selebriti.

Hal itulah membuatkan mereka yang dilantik sebagai pengurus mudah mendapat kepercayaan artis untuk menguruskan apa sahaja urusan termasuk membabitkan kewangan.

Sememangnya setiap pengurus menjalankan tanggungjawabnya dengan baik tetapi ada juga yang mengambil kesempatan dengan menipu sehingga boleh menyebabkan kerugian besar.

Kali ini Daebak menyenaraikan beberapa artis Korea Selatan yang pernah menjadi mangsa penipuan pengurus sendiri.

Super Junior

SEORANG pengurus tertangkap mengkhianati kepercayaan kumpulan Super Junior pada 2009.

Ketika itu, Yesung menjadi satu-satunya ahli yang tidak dapat memenuhi jadual atas masalah kesihatan.

Setelah ditinggalkan di apartmen, dia sukar untuk berehat kerana sering mendengar suara orang berbisik di luar.

Selepas diperiksa, Yesung mendapati pengurusnya cuba melarikan hadiah peminat dan mencuri barang-barang peribadi milik semua ahli Super Junior.

Lisa

PADA 2020, penyanyi kumpulan Blackpink iaitu Lisa pernah ditipu pengurusnya walaupun mereka sangat rapat.

Difahamkan, pengurus itu menerima wang sebanyak RM3,300 untuk mencari pemaju hartanah, namun dia menggunakan duit itu untuk kepentingan peribadi seperti berjudi.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Lalisa Manobal tetap mencari jalan berdamai untuk menyelesaikan masalah tersebut memandangkan sudah kenal rapat dengan pengurusnya itu sejak awal pembabitan dalam dunia seni.

Kesal dengan sikap tidak jujurnya, pengurus itu bertindak menggantikan sebahagian wang tersebut.

Song Hye-kyo

SEWAKTU mahu melebarkan lagi sayap seninya, pelakon Song Hye-kyo, 42 pernah mengalami kerugian.

Menurut laporan media Korea, ibu kepada pelakon drama The Glory itu menerima ancaman daripada orang tak dikenali melalui e-mel.

Individu terbabit memberi amaran akan menyiram air minuman keras kepada Hye-kyo sekiranya tidak memberikan wang  RM900.

Setelah pihak polis menjalankan siasatan, pelaku itu merupakan pengurus yang menguruskan kerjaya aktres jelita itu selama tiga tahun.

Son Dam-bi

 

SEWAKTU sibuk mempromosikan lagu Crazy, penyanyi Son Dam-bi tidak mempunyai masa untuk menguruskan tempat tinggal.

Jadi, Dam-bi meletakkan kepercayaan penuh kepada pengurusnya untuk menjaga rumahnya.

Namun, pengurus itu bertindak mencuri barang-barang milik aktres itu termasuk kereta dan pakaian.

Ketika tertangkap, seluruh barang penyanyi berusia 40 tahun itu telah terjual kerana pengurusnya mahu menggunakan wang tersebut untuk berjudi.

Lee Jong-hyuk

PADA 2011, pengurus yang dikenali sebagai Mr. Choi menceritakan kisah sedih hidupnya kepada pelakon Lee Jong-hyuk.

Menurut Mr. Choi, dia perlu membiayai ibunya yang didiagnos dengan kanser. Bersimpati dengan hal tersebut, Jong-hyuk memberikan wang sebanyak RM16,000 bagi membiayai rawatan.

Bagaimanapun, terbongkar bahawa cerita pengurus itu tidak benar sama sekali bahkan dia turut memperdayakan enam artis dari agensi lain.

Pada 2013, dia ditangkap atas dakwaan melakukan penipuan dan menyalahgunakan dana demi membayar hutang peribadi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok