PERTAMA kali berentap, keberanian kumpulan K.O.I mempertaruhkan genre karya berbeza ternyata berbaloi apabila dijulang sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40) menerusi lagu Tiwikarma.
Kemenangan tersebut melayakkan kumpulan yang dianggotai empat ahli itu membawa pulang trofi utama berserta wang tunai RM100,000.
Tiwikarma merupakan hasil ciptaan Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala lirik digarap Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.
Tempat kedua menjadi milik Aisha Retno menerusi Tak Adil, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi.
Sementara itu, lagu Lumangad Oku Dika dendangan Ryenald Guntabid menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM30,000 serta trofi.
Trofi Vokal Terbaik menjadi milik Marsha Milan menerusi Tangisan Seorang Pendosa, sekali gus melayakkan penyanyi itu membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.
Tidak kurang mencuri perhatian, Aina Abdul diangkat sebagai penerima Persembahan Terbaik menerusi Kamu selepas tampil dengan konsep gunung berapi penuh dramatik.
Tuah Aina terus berganda apabila turut menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee berupa trofi eksklusif, wang tunai RM50,000 serta kontrak sebagai Duta Kempen Shopee.
Lebih manis, Aina turut diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Asia Song Contest 2026, sekali gus mencipta sejarah sebagai wakil sulung negara dalam edisi pertama pertandingan berkenaan.
Pertandingan nyanyian berprestij berkenaan, diadaptasi daripada format terkenal Eropah, dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November ini.
Antara 10 karya berentap pada AJL40 termasuk Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid), Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik), Tak Adil (Aisha Retno), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), Lemah (Dayang Nurfaizah), Nurcinta (Amir Masdi) serta Tiwikarma (K.O.I).
Kesemua persembahan dinilai barisan juri profesional terdiri daripada SM Muzaffar, Efry, Ag Coco, Siti Hajar, Ad Samad, LY, Pat Ibrahim dan Helen Yap, manakala Datuk Acis bertindak sebagai ketua juri.
Memasuki empat dekad penganjuran, AJL40 terus menjadi antara pentas penting dalam industri muzik tempatan, khususnya sebagai wadah menghargai hasil kreativiti komposer dan penulis lirik.
Bertemakan ‘Meraikan Empat Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia’, AJL40 yang berlangsung di Unifi Arena sekali lagi dikendalikan Naz Rahman dan Sissy Imann sebagai hos utama, manakala Fizi Ali serta Fiza Frizzy mengendalikan karpet merah dan segmen belakang pentas.
Naz mengumumkan AJL kali ini menjadi penampilan terakhirnya sebagai pengacara program berkenaan sebelum memberi laluan kepada bakat lebih muda.
Malam kemuncak turut diserikan persembahan pembukaan penuh kejutan apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil bersama anak saudaranya, Umaira, menyampaikan lagu popular Cindai.
Bawah pimpinan Pengarah Muzik, Aubrey Suwito, persembahan pembukaan turut menampilkan Datuk Francissca Peter menerusi Sekadar Di Pinggiran, Misha Omar (Bunga-Bunga Cinta), Haqiem Rusli (Jampi), Syamel dan Ernie Zakri (Isabella & Gemilang), Azlan (Lagu Untukmu) serta Umaira (Cindai).
Daiyan Trisha menerusi Jangan Lupa Jaga Dirimu dan Nabila Razali (Warnai Pelangi) turut menghangatkan pentas sebelum segmen interlud disusuli gabungan dua figura ikonik, Amelina dan Ziana Zain menerusi Asyik, Madah Berhelah serta Sangkar Cinta. – HIBGLAM
