[VIDEO] Big Stage usaha terakhir Nadeera cipta nama

SUDAH bertahun lamanya wanita dengan nama pentas Nadeera Zaini cuba menempatkan diri sebaris dengan penyanyi sedia ada di Malaysia.

Pertandingan demi pertandingan termasuk program realiti dalam televisyen disertainya, semata-mata untuk mengukir nama sebagai penghibur tanah air.

Namun, rezeki masih belum memihak kepadanya. Akur atas kehendak takdir, pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini itu masih berusaha mengejar impian bergelar seorang penyanyi terkenal negara.

Nadeera pernah putus asa namun bangkit kembali berkat sokongan keluarga dan rakan.

Akui Nadeera, pernah suatu ketika dia hampir berputus asa meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.

Masakan tidak, walaupun telah mengeluarkan beberapa buah single, namanya tenggelam tidak kelihatan.

Tangisan? Jika ditadah, sudah tidak terhitung titisan air mata wanita berusia 30 tahun itu membasahi hati.

Apa yang saya buat, semuanya tidak menjadi. Saya pernah menangis kerana kecewa dengan diri sendiri, tapi sokongan keluarga dan rakan-rakan, buat saya kembali bangkit,” ujar wanita kelahiran Mersing, Johor itu.

Tanpa mengenal erti lelah, Nadeera yang juga peserta akhir program Big Stage musim kelima (BS5) berharap, rezeki akan memihak padanya pada konsert final, malam ini.

Penyanyi bervokal lantang itu juga masih gigih menyertai program realiti kerana mahu terus mencuba nasib mengukir nama, walaupun berasakan Big Stage sebagai pertandingan terakhir yang disertainya.

Impian saya masih belum tercapai. Nama saya belum cukup besar lagi. Ramai yang masih tidak mengenali siapa Nadeera Zaini.
“Apabila orang mula kenal saya, sekurang-kurangnya rezeki saya dalam bidang seni semakin murah. Dapat juga saya cari makan jika ada tawaran membuat persembahan walaupun kecil-kecilan,” katanya.

 

Persembahan Nadeera sentiasa dinanti penonton dan juri.

Dalam pada itu, Nadeera bersyukur dan terharu kerana sejak menyertai Big Stage namanya kembali disebut orang.

Namun pada masa sama, dia khuatir jika ingatan peminat terhadapnya cuma sementara. Dia bimbang, jika Big Stage menutup tirai, namanya akan dilupakan orang.

Bagaimanapun, Nadeera tetap menghargai usaha peminat mencurahkan sokongan buatnya sepanjang bertanding di pentas Big Stage.

Alhamdulillah, sejak sertai BS, saya sudah pun mengumpul peminat tersendiri. Saya sangat hargai sokongan mereka.

“Jadi, selepas habis program Big Stage nanti, saya harap orang tidak akan lupakan saya lagi,” luahnya.

Bercakap tentang persiapan menjelang konsert akhir malam nanti, Nadeera sama seperti lima finalis lain apabila masing-masing berusaha keras untuk bergelar juara, sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000.

Biarpun berharap rezeki menjadi miliknya, peserta yang disebut-sebut sebagai calon juara engan meletakkan harap setinggi gunung dan berserah pada takdir yang menentukannya.

“Ini peluang terakhir saya untuk terus mengukuhkan nama dalam industri. Jadi saya tidak mahu menghampakan diri sendiri dan juga peminat.

“Apa yang saya harapkan, kerjaya ini tidak akan terkubur, seperti sebelum ini,” tutupnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Farah Nadeera (@nadeerazaini)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok