SELEPAS lebih dua dekad tidak menerbitkan album solo, kini penyanyi, pelakon dan sutradara terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim kembali dengan bingkisan solo keduanya, Eternal.
Menariknya, Eternal bukan projek bawah label KRU, sebaliknya Sony Music Malaysia yang berhasrat mengembalikan zaman kegemilangan Yusry sebagai penyanyi solo.
Judul dan konsep Eternal dipilih bagi mencerminkan Yusry yang kekal awet muda mesti sudah berusia 53 tahun.
Sempena pelancaran album ini, sebuah majlis khas, Eternal Gala Night yang menghimpunkan ratusan peminat setia Yusry dianjurkan hujung minggu lalu di JioSpace Petaling Jaya.
Acara listening party itu turut diserikan dengan persembahan Yusry secara live yang diringi band Aura yang juga merupakan artis naungan Sony Music Malaysia.
Album Eternal memuatkan enam lagu baharu di mana dua daripadanya merupakan ciptaan Luca Sickta dan selebihnya oleh Yusry.
Menurut Yusry, album Eternal platform untuknya berkongsi segala impian dan keinginannya yang tidak dapat dilunaskan ketika bersama KRU.
“Saya pencinta setia muzik rock. Ketika berada dalam KRU saya tidak dapat tonjolkan sisi itu kerana genre muzik kami berbeza.
Apabila Sony Music Entertainment Malaysia melamar saya untuk projek album solo, saya beritahu tidak mahu bunyi KRU.
“Jadi saya minta komposer baharu yang buat lagu untuk album ini selain lagu-lagu ciptaan saya yang sudah lama dihasilkan tetapi tidak berkesempatan untuk dikeluarkan,” katanya.
Antara lagu yang dimuatkan dalam Eternal adalah Jiwa Dan Raga, Hancur Kecewa, Kasarnya Cinta, Kamu Harus Tahu, Pelengkap Hidup dan Narsisistik.
Koyakkan suara
Menerusi album Eternal juga, Yusry baru menyedari kemampuannya untuk menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.
Malah dia sanggup ‘koyakkan’ suara untuk mendapat bunyi serak demi menyesuaikan dengan emosi lagu.
“Lagu Kasarnya Cinta adalah lagu paling tinggi yang pernah saya buat dan nyanyikan. Begitu juga dengan lagu Jiwa dan Raga ciptaan Luca Sickta.
“Untuk lagu Hancur Kecewa, selepas selesai rakaman saya rasa macam ada sesuatu yang kurang. Saya tak rasa emosi kecewa yang mahu disampaikan dalam lagu ini.
Jadi saya ‘koyakkan’ suara saya. Saya ulang menyanyi banyak kali sampai suara saya koyak. Kemudian kita rakam. Agak susah proses rakaman tersebut sebab bila hilang suara, kita akan alami kesukaran untuk mengawal vokal,” jelasnya.
Yusry turut menyelitkan sebuah lagu tentang kekeluargaan iaitu Pelengkap Hidupku yang dicipta sewaktu ketiadaan isteri tercinta disisi.
“Lagu ini saya cipta sudah lama. Lebih 10 tahun lalu. Ketika itu saya terpaksa berjauhan dengan Lisa. Dia ada penggambaran filem di England. Asalnya lagu ini ditulis dalam bahasa Inggeris.

Meski usia mencecah 53 tahun, Yusry kekal energetik ketika beraksi di pentas bahkan lagu yang dibawanya menerusi Eternal segar serta mudah diterima pelbagai peringkat usia pendengar.
“Bila saya lihat semula kesemua lagu yang dimuat dalam album ini, kebanyakannya lagu galau. Saya mahu album ini jadi diari hidup saya.
“Jadi saya mahu lagu Pelengkap Hidup ini menjadi lagu yang mewakili suara lelaki yang sudah berumah tangga. Pelengkap hidup lelaki sudah tentu isteri dan anak,” kongsinya.
Antara lagu menarik dalam album ini adalah Narsisistik yang menceritakan tentang masyarakat hari ini.
Menurut Yusry, lagu itu dicipta berdasarkan pemerhatiannya dalam media sosial.
“Lagu ini merupakan kritikan sosial secara tidak langsung. Sebenarnya tanpa kita sedar, setiap orang ada sifat narsisistik dalam diri termasuklah saya sendiri.
“Contoh kita ambil gambar dengan kapsyen jalan raya sesak. Tetapi gambar itu tunjuk stereng yang memaparkan logo kereta. Ada juga yang berhijab tetapi pakaian menampakkan bentuk tubuh,” katanya.
Bagi Yusry, Eternal bukan sekadar sebuah album tetap karya yang diharapkan dapat menemani pendengar dalam pelbagai fasa kehidupan.
“Saya berharap setiap orang akan menemui sekurang-kurangnya sebuah lagu dalam album ini yang dekat dengan kisah hidup mereka.
Jika karya-karya ini mampu membawa pendengar mengimbau kenangan, mencari kekuatan atau sekadar menemani perjalanan mereka, itu sudah cukup bermakna buat saya,” ujarnya.
Album Eternal kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.
