JIKA ingin menjadi saksi aktres Tan Sri Michelle Yeoh kurang menonjolkan seni mempertahankan diri, barangkali inilah naskhahnya, The Brothers Sun.
Mengisahkan tentang konflik, pengaruh serta kehebatan keluarga gangster Taiwan iaitu Sun, cetusan idea Byron Wu dan Brad Falchuk itu wajar diiberikan perhatian peminat kerana sememangnya antara perkara terhebat membuka lembaran tahun 2024 di gelanggang Netflix sekarang.
Naratif atau penceritaan yang dipaparkan dalam The Brothers Sun sangat mengejutkan, namun posisi baik.
Ada banyak plot twist atau pusingan plot yang membuatkan penonton hooked. Bukan hanya aksi semata-mata, naskhah yang membariskan rata-rata pelakon Asia itu turut cemerlang disuntik elemen lelucon, emosi dan nilai kekeluargaan.
Alur cerita yang luar biasa turut disokong dengan terjemahan karakter cemerlang dijayakan barisan pelakon terlibat.
Selain Michelle yang memainkan peranan Mama Sun, watak utama lain seperti Charles Sun lakonan Justin Chien, Bruce Sun (Sam Li) tidak langsung mengecewakan.
Orang Asia hebat!
Watak Charles adalah bukti bahawa orang Asia kalau bab bertarung dengan seni kung fu dan mempertahankan diri memang nombor satu. Itu memang tiada secebis penafian.
Karakter Mama Sun umpamanya menderaskan ‘blok-blok’ kebenaran seseorang wanita itu tangannya mungkin menghayun buaian, namun bisa menggoncang dunia.
Tidak memerlukan kekerasan untuk menterbalikkan realiti, namun Mama Sun menggunakan minda dan intuisi bijaksana demi mendapatkan keadilan bukan berpuncakan kepentingan sendiri sahaja, namun orang sekeliling.
Dalam kebodohan karakter dimainkan Sam sebagai Bruce, banyak nilai penting tersirat dalam watak tersebut.
Perdana sekali, orang Asia sentiasa menginginkan yang terbaik buat anak-anak mereka. Itu dipaparkan Mama Sun buat anaknya Bruce yang ‘dimatematikkan’ dengan profesion-profesion berkelas ‘elit’ iaitu doktor perubatan.
Orang Asia juga mempunyai bakat-bakat sampingan lain seperti berteater atau melakukan improv di gelanggang yang kebiasaannya dipelopori orang Barat. Itu adalah antara budaya representasi yang ditonjolkan dalam The Brothers Sun.
Aksi inventif
Menyentuh soal aksi, kebanyakan babak pertarungan yang dijayakan sangat inventif. Dari segi pergerakan atau permainan kamera, barangkali yang dipamerkan belum pernah diperlihatkan sebelum ini.
Babak ketika Charles menyelamatkan TK lakonan Joon Le ‘bertemankan’ bola-bola golf adalah antara perihal yang bermain di fikiran penulis rent-free sehingga sekarang. Sinematografi dan magis kamera dimainkan mereka yang terlibat memang chef’s kiss! Justin, you da man!
Berkenaan siapa antagonis dan siapa protagonis sejujurnya sudah dijangka penulis sedari awal, namun pengarah membocorkan twist dengan penuh bergaya.
Tentang apa yang dinyatakan pada perenggan sulung, buat mereka yang belum menonton, kalian pasti tidak mahu melepaskan peluang melihat Michelle tanpa ‘senjata’ utamanya dalam sesebuah filem aksi iaitu babak pertarungan.
Kendatipun, lain yang diluncurkan Michelle memainkan karakter Mama Sun dalam The Brothers Sun. Sebuah siri yang sangat memberi dampak, membuatkan adrenalin berkocak-kocak dengan elemen komedi epik dan luar biasa.
Dari skala per 100, siri yang rata-ratanya menjalani penggambaran di California dan Taiwan ini layak mendapat markah 90 peratus. Bravo! – HIBGLAM