Biar tambah anak, jangan tambah ‘benda’ lain

KETIKA penyanyi bertubuh genit itu memutuskan untuk menamatkan zaman bujangnya sekitar April lalu, bohong jika dia tidak berasa gusar memikirkan nasib kerjaya seninya selepas berumah tangga nanti.

Cakap-cakap tentang populariti seseorang artis itu akan jatuh merundum selepas berkahwin, terngiang-ngiang dalam fikirannya ketika itu.

Bukan menolak soal jodoh, namun penyanyi dengan nama pentas Aiman Tino itu tidak mahu tersilap langkah sehingga akhirnya menyesal dengan keputusannya untuk berkahwin seawal usia 25 tahun, sekali gus berkemungkinan menutup periuk nasinya sebagai seorang anak seni. 

Perkenalan ringkas Aiman bersama isterinya, Syarah Haifa juga tidak sempat melalui bibit-bibit cinta secara mendalam, kerana pada awalnya, hubungan mereka bermula hanya atas dasar kerja.

Tidak sampai setahun selepas mengenali Syarah, Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri akhirnya nekad untuk meletakkan titik noktah pada status bujangnya apabila selamat menikahi isteri pada 27 April lalu. 

Benarlah kata orang, pernikahan itu sebenarnya membuka pintu rezeki lebih luas, ditambah dengan doa seorang isteri.

Rezeki mencurah

Selepas tujuh bulan berumah tangga, Aiman berkata, rezekinya dalam industri semakin mencurah-curah dan ternyata berbeza ketika zaman bujangnya.

“Sebenarnya sebelum berkahwin, saya ada kerisauan, takut tidak ada ‘job’. 

“Tapi betul kata orang, sebenarnya rezeki selepas berkahwin itu memang lain berbanding ketika zaman bujang. Alhamdulillah, rezeki saya sekarang semakin mencurah-curah.

“Saya rasa seperti membuat kemunculan semula (comeback), rezeki jadi lebih luas. Mungkin Allah SWT mendengar doa-doa saya dan rezeki itu memang tiba-tiba selalu ada. Doa seorang isteri juga ada keberkatannya,” ujar Aiman seraya menjeling isteri yang ada di sisi ketika ditemu bual Pose. 

REZEKI Aiman dalam industri semakin mencurah-curah dan ternyata berbeza ketika zaman bujangnya.

Mengakhiri zaman bujang pada usia muda juga memberi cabaran buat Aiman, lebih-lebih lagi untuk menjaga hati isteri supaya tidak terguris.

Syarah ketika mencelah berkata, pernah beberapa kali dia didekati peminat suaminya yang berhajatkan untuk menjadi isteri kedua dalam perkahwinan mereka.

Kahwin dua?

Pada mulanya, wanita yang juga berusia 25 tahun itu menganggap mungkin peminat tersebut hanya sekadar bergurau, namun selepas beberapa kali mengajukan perihal serupa, ternyata niat peminat wanita itu untuk bermadu adalah benar.

“Selepas berkahwin, makin ramai pula perempuan yang cuba untuk mendekati suami. Walaupun saya sentiasa ada bersama Aiman, ada segelintir peminat wanita tidak segan silu mengajak suami saya untuk berkahwin.

“Ada yang menyatakan hasrat untuk bermadu. Reaksi saya mula-mula ingatkan dia bergurau. Tapi apabila sudah mengulangi niat yang sama beberapa kali (untuk bermadu), ternyata  wanita itu serius,” kata Syarah.

Aiman lebih suka jika Syarah bekerja di belakang tabir sebagai pengurusnya.

Sebagai wanita, bohong jika tidak timbul perasaan cemburu dalam hatinya. Bagaimanapun, Syarah enggan membabi buta menyalahkan suaminya disebabkan hal tersebut.

“Saya selalu ingatkan pada Aiman supaya sedar diri dan jangan terlalu melayan peminat yang menaruh hati padanya.

“Bukan apa, sebab kalau melayan, mereka akan makin menjadi-jadi. Depan saya pun mereka masih berani minta izin untuk jadi isteri kedua. Jika melayan sekali pun, jangan sehingga memberi harapan,” tegas Syarah.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok