‘Tak adil label wanita tak bertudung itu jahat’

SEJAK popular ada sahaja kritikan pedas segelintir pihak yang seakan-akan tidak senang dengan kemaraan bekas pembaca berita Buletin Utama itu.

Memasuki liga selebriti panas, Hawa kini sering dilayangkan komen negatif berhubung fesyen dan penampilan diri yang dikatakan tidak sesuai dengan imej berhijab.

Malah ada yang menuduhnya menjadi mangsa fesyen kerana pernah menampakkan leher dan telinga dalam pemilihan gaya tudung.

Tidak melenting, si cantik kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu menelan segala teguran, selain cuba berubah ke arah lebih baik seiring kematangan usia dan pengalaman.

Apabila sudah ramai tegur, saya akan ambil peduli sebab saya enggan jadi orang jahat atau individu yang tidak berilmu.

“Apa langkah seterusnya? Saya cuba jadi manusia yang lebih baik dengan lebih menjaga bab pemakaian.

“Sekarang apabila semakin dewasa, insya-Allah saya lebih tegas dalam pemilihan persalinan serta imej diri,” katanya membuka bicara.

Dilabel sebagai mangsa fesyen, penulis cuba mendapatkan jawapan sekiranya pemilik nama lengkap Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, adakah pernah terdetik dalam benak, bagaimanalah pandangan orang jika melihatnya dirinya tidak bertudung.

Nyata, perkara itu bukan sesuatu yang mahu difikirkan. Melencongkan pandangan, Hawa tidak bersetuju dengan sikap setiap ahli masyarakat yang gemar menilai keperibadian wanita tidak bertudung.

Baginya, cukup-cukuplah menghakimi seseorang dari luaran sahaja.

Setiap hari saya berdoa untuk jadi orang lebih baik. Saya mula pakai tudung atas permintaan arwah datuk semasa berusia 19 tahun.

“Saya mahu tegaskan, jangan menghakimi orang berdasarkan luaran kerana kita tidak tahu apa sumbangan atau amalannya dalam diam.

Saya juga nak luahkan satu perkara, sebenarnya sangat tidak adil menilai orang tidak menutup aurat sebagai jahat,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok