I’m Not Okay, Cikgu! buka topeng derita emosi remaja

FRASA ringkas ‘saya okey’ sering menjadi jawapan paling mudah bagi golongan muda untuk menyembunyikan tekanan emosi yang sebenarnya sedang menghimpit diri mereka.

Realiti pahit yang jarang disedari masyarakat sekeliling tersebut kini diangkat sebagai naratif utama menerusi sebuah siri mini vertikal bertajuk I’m Not Okay, Cikgu!.

Karya kreatif yang mengetengahkan isu kesihatan mental dalam kalangan generasi muda tersebut dihasilkan dengan sokongan penuh daripada pihak Yayasan Hasanah dan mula ditayangkan menerusi pelbagai platform media sosial bermula 16 November lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naskhah yang dibintangi Mira Filzah, Waheeda Wassini, Mia Sara Shauki, Zul Zamir, Jun Vinh Teoh, Meer Nash dan Syafiqah A. Pohan berkenaan secara tidak langsung mendidik penonton tentang kepentingan mengenali tanda-tanda awal apabila seseorang memerlukan sokongan.

Menurut Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, penghasilan siri drama vertikal lima episod dengan jalan cerita berbeza itu mencerminkan komitmen untuk melangkaui sekadar kempen kesedaran ke arah tindakan lebih bermakna.

Ujarnya, pendekatan dengan memilih penceritaan isu secara kreatif menerusi kandungan digital dilihat antara cara paling berkesan untuk didedahkan terhadap generasi muda.

MIRA FILZAH (tengah) menerima bulat-bulat tawaran drama I’m Not Okay, Cikgu! atas kesedaran tinggi terhadap isu tekanan emosi golongan kanak-kanak dan remaja masa kini.

“Usia muda tidak bermakna masalah yang dihadapi itu kecil. Apa yang kalian rasakan tetap penting dan tidak perlu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja sepanjang masa.

“Kami berharap siri ini dapat membantu golongan muda mengenali rakan, bahawa apabila sesuatu keadaan menjadi sebaliknya.

“Sebagai golongan dewasa, kita juga mempunyai tanggungjawab. Kita perlu mendengar dan memberikan ruang kepada mereka untuk meluahkan perasaan, bukannya memperkecilkan apa yang mereka alami atau terburu-buru memberikan nasihat,” katanya.

Pendekatan menghasilkan siri tersebut mencerminkan kepercayaan Yayasan Hasanah bahawa usaha menyokong pendidikan perlu melangkaui pencapaian akademik demi memastikan golongan muda memiliki kesejahteraan hidup secara menyeluruh termasuk aspek rohani dan jasmani.

“Kesejahteraan emosi, perkembangan peribadi serta keupayaan mereka mengharungi cabaran kehidupan juga sama penting. I’m

“Adakala, mengetahui bahawa seseorang sedia mendengar sahaja sudah mampu membawa perubahan yang besar,” katanya.

Sementara itu, pengarah drama, Nell Hanan pula menjelaskan, cabaran terbesar dalam aspek penulisan dan pengarahan karya berkenaan adalah mengimbangi antara kekuatan penceritaan serta elemen pendidikan agar tidak kelihatan seperti iklan khidmat masyarakat semata-mata.

Atas alasan sebegitu, dia memilih menghasilkan sebuah naskhah yang bukan sahaja menghiburkan, malah berpotensi meninggalkan impak berpanjangan sebagai panduan buat golongan remaja.

“Saya menyeru orang ramai agar menyokong dan menularkan siri ini dalam pelbagai platform media sosial.

“Sambutan positif akan mewujudkan permintaan tinggi daripada penonton dan perkara itu amat penting bagi membuka ruang kepada penghasilan lebih banyak karya yang mengangkat isu kesedaran sosial pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagi Mira selaku antara pelakon utama mengakui menerima tawaran untuk membintangi drama tersebut tanpa sebarang keraguan.

“Saya tertarik dengan subjek berkenaan kerana menyedari peningkatan isu tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah pada masa kini. Saya juga harap masyarakat tidak memandang ringan isu berkaitan emosi.

“Jangan pendam perasaan seorang, sebaliknya luahkannya dengan kawan, ibu bapa atau guru supaya beban yang ditanggung menjadi lebih ringan,” tuturnya.

PENERBITAN drama I’m Not Okay, Cikgu!, cuba menemukan cara paling berkesan mengajak para remaja mencari saluran tepat berkongsi dilema perasaan.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok