Perampas dan penyondol, saya takut jadi badi – Nadia Brian

ACAPKALI diberi kepercayaan membawakan watak wanita penggoda dan penyondol, pelakon Nadia Brian mengakui bimbang apabila karakter sedemikian terlalu sinonim dengan dirinya sehingga membataskan peluang untuk meneroka watak berbeza.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 35, bagaimanapun tetap bersyukur dengan setiap tawaran yang diterima, namun berharap pengarah dan penerbit turut memberinya peluang untuk membawakan karakter di luar kebiasaan.

“Jujurnya, saya sampai takut perkara ini menjadi badi kerana terlalu kerap membawa watak perampas dan penyondol. Namun, saya percaya ramai lagi pelakon yang turut diberikan karakter sama secara konsisten.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun begitu, mungkin ini rezeki saya. Alhamdulillah, saya tidak pernah menyesal atau mahu mengulas perkara itu secara negatif.

“Orang memang sudah kenal saya dengan karakter penyondol dan penggoda. Cuma, saya berharap penerbit dan pengarah di luar sana sedar bahawa saya juga mampu membawa watak lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Like & Latte di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nadia berkata, tidak ramai menyedari bahawa menjayakan watak antagonis sedemikian memerlukan komitmen tinggi, terutama dari segi penjagaan penampilan sepanjang tempoh penggambaran.

“Watak penyondol dan seumpamanya sebenarnya memerlukan banyak usaha.

“Proses bersiap sahaja sudah mengambil masa. Penjagaan penampilan termasuk solekan dan pemilihan aksesori sekecil subang pun boleh menjadi sangat memenatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nadia turut menyimpan hasrat untuk membintangi naskhah lebih berat seperti filem biopik atau membawa watak yang tidak memerlukan solekan tebal bagi membuktikan kemampuan serta versatiliti dirinya sebagai anak seni.

“Sudah tentu saya mahu mencuba karakter yang lebih berat. Kalau mendapat tawaran filem biopik atau watak yang tidak memerlukan solekan pun, saya sebenarnya boleh lakukannya.

“Tolong beri saya peluang,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Like & Latte terbitan UTV Original yang turut dibintangi Nadia mengetengahkan konflik pasangan yang menjalankan perniagaan bersama.

Drama berkenaan turut menampilkan pelakon Diana Danielle dan Shah Jaszle. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok