Tiada tekanan label, Yuna tenang buat ‘senjata’

SELEPAS beberapa tahun menyepi, Yuna akhirnya kembali mengubat rindu peminat menerusi sebuah album penuh bermakna berjudul Senjata.

Album baharu tersebut memuatkan sebanyak tujuh buah lagu yang merangkumi karya bertajuk Senjata, Lena, Tinggi Rendah Langit, Intuisi, Rockstar, Siren, serta sebuah lagu nukilan berbahasa Inggeris berjudul Turn Back Times.

Menariknya, Senjata mempertaruhkan gabungan elemen muzik rock alternatif era 1990-an, folk, dan pop iaitu genre yang cukup sinonim dengan identiti awal permulaan kerjaya seni Yuna suatu ketika dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut pemilik nama lengkap Yunalis Zara’ai, penghasilan album terbitan Yuna Room Records itu bermula secara tidak sengaja bersama rakan-rakannya seperti Aizat Amdan, Anas Amdan dan Raja Nazrin Shah iaitu anggota kumpulan SOG.

“Sebenarnya album ini bermula sebelum puasa tahun ini. Ketika itu macam tergerak hati nak berkolaborasi dengan sesiapa untuk tulis lagu.

“Sebenarnya nak buat seronok-seronok saja. Saya telefon Anas dan Aizat ajak mereka sebab mereka ada studio KGE di TTDI.

“Selepas itu saya ajak abang SOG untuk ada elemen gitar. Waktu itu saya dah nampak arah album ini macam mana.

“Mula-mula ingat nak buat single saja, tapi terus ajak mereka buat beberapa lagu supaya boleh buat album,” katanya kepada HibGlam.

BAGI Yuna, Senjata membuka lembaran baharu dalam perjalanan muziknya, selain menjadi peluang untuk kembali menyelami minat dan pengaruh muzik yang pernah membentuk dirinya sebagai penyanyi dan penulis lagu.
– SADDAM YUSOFF

Mengulas lanjut mengenai proses di sebalik pembikinan album tersebut, penyanyi berusia 40 tahun itu menegaskan kepentingan untuk kekal autentik dan jujur pada diri sendiri tanpa terikat dengan tekanan komersial daripada mana-mana pihak.

“Saya kena stay true to yourself, apa yang saya selesa buat. Bagi saya, saya buat album ini sebab tak ada tekanan daripada label, semua usaha dan inisiatif saya.

“Saya buat lagu yang saya rasa peminat akan suka dan Lena contohnya, lagu macam alternatif rock tapi ada elemen ‘ethereal’ sikit.

“Senjata pun ada elemen lagu Melayu lama macam Terukir Di Bintang. Dalam satu dunia sama tapi lain sikit,” ujarnya lagi.

Yuna turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur apabila sambutan awal yang diterima daripada peminat di samping mengubat kerinduan pendengar tegar terhadap gaya muzik awal era 2000-an yang dibawakannya.

“Saya agak yakin juga bila buat album ini, alhamdulillah setakat saya tengok komen dalam YouTube, semua cakap rindu saya versi ini.

“Saya harap peminat akan suka walaupun pendengar sekarang ada genre mereka tersendiri.

“Bagi saya, saya mahu bawa kembali lagu-lagu macam Avril Lavigne, zaman 2000-an,” jelasnya.

Bagaimanapun, di sebalik keindahan hasil akhir album tersebut, pelantun lagu Terukir Di Bintang itu mendedahkan cabaran terbesar terletak pada disiplin kerja yang tinggi memandangkan dia kini bergerak sepenuhnya secara sendiri dengan kapasiti pasukan yang kecil.

“Susah sebenarnya nak hasilkan album sebab saya buat semua sendiri jadi saya perlu jadi sangat disiplin dari segi perancangan.

“Saya kena rancang satu-satu dan kemudian mahu pastikan semua orang sehaluan. Pasukan kami kecil saja.

“Mereka pun sangat komited dan memahami konsep. Album ini macam proses pembelajaran tapi seronok juga,” dedahnya.

Dalam pada itu, dia mendedahkan faktor pemilikan hak cipta penuh (master rights) menjadi keutamaan baginya sebagai seorang pencipta lagu dan penulis lirik.

“Sebagai artis independent, saya rasa dua-dua pun okey kalau nak tanda tangan dengan label ataupun bergerak sendiri. Tapi fokus saya sekarang saya nak miliki lagu sendiri.

“Bila dilancarkan, lagu itu 100 peratus milik saya bersama semua penulis yang terlibat.

“Bukan masalah terikat, lagu-lagu sekarang ini selepas dah habis kontrak dengan label rakaman yang besar, kesemuanya ‘master’ akan pegang.

“Kalau apa-apa nak pakai untuk filem saya ada hak untuk cakap ya atau tidak. Persetujuan itu datang daripada saya,” jelasnya.

PULANG menetap di Kuala Lumpur, fokus Yuna kini mahu membina keluarga bersama suami tetapi masih ada ruang untuk muzik.

Muzik, keluarga

Ditanya mengenai masa depan kerjaya seni, Yuna tidak pernah terfikir untuk bersara sebaliknya lebih selesa mencurahkan segala keringat terhadap minatnya.

“Tak pernah terfikir nak berhenti berkarya tapi kalau berehat itu mungkin. Itu paling penting sebab saya pernah saja berehat daripada muzik.

“Kalau di AS, setiap kali keluarkan album saya kena pergi menjelajah. Itu memenatkan.

“Tapi kalau ada peluang untuk melancong dan buat persembahan yang tak berat, saya akan memikirkannya.

“Saya tak rasa akan berhenti buat muzik. Saya ada kawan-kawan yang bila-bila boleh berkolaborasi bersama,” ujarnya.

Malah juga tetap memberikan fokus kepada muzik selain dalam proses mengembangkan keluarganya.

“Saya pun boleh buat dua benda serentak. Fokus kepada keluarga dan muzik.Saya pernah cakap sebelum ini kira-kira awal tahun, saya mahu kembangkan keluarga. Tapi tak ada rezeki lagi.

“Tapi tidak mengapa, kalau ada peluang dan rezeki saya memang teruja kembangkan keluarga tapi saya fikir muzik pun sebahagian daripada hidup saya,” tutupnya.

YUNA menyifatkan pembikinan Senjata sebagai proses menyeronokkan, dia bebas dan miliki ruang berkarya dengan lebih luas untuk menentukan hala tuju muzik tanpa tekanan atau campur tangan syarikat rakaman.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok