PENYANYI dan komposer, Waheeda meluahkan rasa bimbang apabila mendapati ramai generasi muda hari ini tidak mengenali perkara asas termasuk seni budaya tradisional dan sawah padi.
Selaku tenaga pengajar Kelab Seni Persembahan di Sekolah Rendah Agama Integrasi AADMS, pemilik nama sebenar Norwahidah Abdul Wahab, 48, itu mengakui terkejut namun dalam masa sama bersedih kerana generasi baharu tidak didedahkan dengan perkara asas dan pengetahun am terutama sawah padi.
“Saya terkejut apabila mereka bersemangat meminati tarian K-pop tetapi langsung tidak tahu apa itu tarian asli seperti zapin dan joget, malah ada yang bertanya apa itu padi atau sawah padi.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Benda asas pun tidak tahu, belum lagi filem klasik seperti Bujang Lapok, sedih saya memikirkannya,” katanya kepada HibGlam pada tayangan siri vertikal I’m Not Okay, Cikgu! di sini, baru-baru ini.
Pelantun lagu Wassini itu tidak menolak kemungkinan penggunaan telefon pintar dan media sosial tanpa kawalan serta secara berlebihan mungkin menjadi punca kanak-kanak hari ini kurang daya imaginasi terutama berkaitan aktiviti kesenian.
“Saya sampai bertanya kepada guru-guru di sekolah mengenai perkara ini kerana pergerakan tarian mereka nampak keras seolah-olah tidak biasa berimaginasi atau berangan menjadi adiwira seperti zaman kita membesar dahulu.
“Saya tertanya-tanya adakah situasi membimbangkan ini berpunca daripada pendedahan melampau terhadap media sosial dan terlalu banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar,” katanya lagi.
Jelasnya, setiap masalah terutama berkaitan kesihatan mental remaja sekolah berpunca daripada pelbagai aspek yang salah satunya didikan ibu bapa di rumah.
“Semuanya bermula dari rumah kerana guru hanya membantu, jadi ibu bapa adalah pihak pertama yang bertanggungjawab mendidik anak-anak.
“Bukan tanggungjawab guru semata-mata untuk mengajar segala-galanya, sebaliknya keluarga perlu memainkan peranan utama di rumah,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai perkembangan tugas sebagai pengajar, Waheeda berkata, dia kini aktif membimbing murid dalam bidang tarian, lakonan dan persembahan pentas.
“Walaupun hanya berjumpa dua kali sebulan, saya bersyukur dapat memperkenalkan akar budaya Melayu tradisional dan asas muzik bagi membantu perkembangan otak serta karakter mereka.
“Saya mahu mereka mengenali seni warisan kita supaya jati diri bangsa ini tidak terus pupus ditelan zaman,” jelasnya. – HIBGLAM

