‘Mental ibu biar terjaga’ – Ibu sakit, hati Shiha Zikir luluh

LULUH hati sebaik mendapat pengesahan penyakit ibunya, penyanyi Shiha Zikir nekad memberikan sepenuh perhatian terhadap insan kesayangan yang kini memerlukan penjagaan rapi.

Shiha atau Nurshiha Mohd. Zikir tersentak saat menerima berita mengejutkan itu namun mereka sekeluarga belum dapat mendedahkan penyakit ibunya, Rohana Ibrahim, 68.

“Keadaan emak ketika ini memerlukan saya serta ahli keluarga lain memberikan fokus terhadapnya. Cuma buat masa ini kami belum sedia untuk berkongsi penyakit dihidapi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak mahu dia dihubungi ramai orang sehingga membuatkannya berasa tidak selamat. Biarlah keluarga sahaja yang tahu.

“Keputusan ujian juga memang mengejutkan, tetapi pada masa sama saya bersyukur kerana emak sangat positif,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2026, baru-baru ini.

Buat masa ini, katanya paling utama adalah memastikan mental wanita dihormatinya itu terus kekal ceria dan kuat sepanjang menjalani rawatan.

“Saya mahu menjaga kesihatan fizikal serta mental emak terjaga. Saya nak dia berasa gembira ketika dalam tempoh rawatan,” katanya.

Dalam menghadapi dugaan, Shiha bersyukur kerana mempunyai adik-beradik yang sama-sama menggalas tanggungjawab menjaga ibu mereka.

Katanya, mereka melaksanakan sistem giliran bagi memastikan penjagaan yang sempurna selain segala keperluan ibunya terjaga.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana mempunyai adik-beradik yang boleh membahagikan masa untuk menjaga emak.

“Emak juga sentiasa memberikan semangat kepada saya supaya jangan risaukan tentang dirinya serta fokus sahaja pada kerjaya.

“Sekarang ini, saya perlu bekerja keras untuk emak dan memastikan dia berada dalam keadaan selesa,” katanya.

Terdahulu, hantaran video Shiha menyentuh hari ramai apabila air matanya menitis berkongsi mengenai keadaan ibunya di sebuah hospital. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok