TERLALU sibuk bekerja hingga tiada masa buat diri sendiri, pelakon dan penyanyi Azza mengakui sudah lama menyimpan keinginan untuk kembali aktif melancong ke luar negara seperti dahulu.
Ujar Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 48, hasrat untuk mengelilingi dunia sudah lama berakar dalam jiwa, namun tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya menjadi kekangan utama.
Sebenarnya saya memang suka tengok orang melancong kerana jiwa saya memang dekat dengan dunia travel.
“Waktu muda dulu, saya boleh pergi mana-mana seorang diri. Memang pernah terfikir untuk kembali jadi pengembara solo,” katanya dalam Threads.
Bagaimanapun, anggota kumpulan Elite itu mengakui komitmen besar dipikul ketika ini membuatkan hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan sementara waktu.
Sekarang lain, sudah ada ‘beg tangan’ (komitmen) yang perlu dibawa bersama. Jadi kena banyak menyimpan dahulu sebelum boleh bergerak.
“Kadang-kadang saya rasa bekerja gila-gila kerana tanggungjawab terhadap ibu, keluarga dan juga staf sangat besar.
“Sampai satu tahap, saya seperti terlupa diri sendiri. Saya juga perlukan masa untuk diri,” luahnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, rata-rata memahami situasi dilalui selain memberi sokongan agar pelakon drama My Lovely Driver itu terus kuat.
“Betul kak, kadang kita terlalu sibuk sampai lupa diri sendiri.
“Pergilah bercuti, ambil masa untuk diri. Itu pun penting.
“Rehat sekejap tak salah, kesihatan mental lagi utama,” tulis beberapa netizen.
Namun, terdapat juga segelintir individu berpendapat setiap perancangan memerlukan disiplin, terutama dalam mengurus kewangan dan masa agar impian dapat direalisasikan. – HIBGLAM
