‘Setialah, jatuh cinta dengan orang yang sama setiap hari’

BAPA kepada penyanyi Bella Astillah, Awang Astillah menzahirkan rasa syukur melihat puterinya tersenyum bahagia melangkah ke fasa baharu kehidupan berumah tangga.

Dalam perkongsian yang menyentuh hati, Awang berharap pernikahan kali ini berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Buat anak ayah, hari ini ayah sangat bersyukur melihat kamu tersenyum bahagia. Ayah jarang ikut campur urusan kamu tapi ada sedikit pesanan sebagai ayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ayah cuma mahu kamu bahagia, ayah tahu perjalanan hidupmu tak mudah tapi ayah bangga sebab kamu tetap kuat tersenyum dan pilih teruskan hidup dengan hati baik.

Semoga Allah jaga pernikahan dan hati kamu berdua. Semoga sampai rambut memutih masih memilih orang yang sama.

“Ayah sayang kamu berdua Syed Saddiq dan Bella Astillah,” katanya.

Dalam pada itu, Awang berharap menantunya juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq menjaga isteri sebaik-baiknya selain menyelitkan nasihat berkaitan dugaan rumah tangga.

“Kepada Saddiq, ayah dan mama sudah jaga Bella selama 32 tahun, hari ini ayah serahkan amanah dan tanggungjawab itu kepada Saddiq.

Jagalah dia sebaik-baiknya. Setialah dengan satu orang dan jatuh cinta dengan orang yang sama setiap hari.

“Fokus kepada dia, jagalah hati dan sama-sama perjuangkan rumah tangga ini. Pasti ada ribut, salah faham penat serta kecewa.

“Tapi walau sebesar mana ribut, biarlah tempat pulang adalah orang yang sama,” kongsinya.

Awang turut mengingatkan pasangan itu agar sentiasa menghargai antara satu sama lain serta tabah menghadapi pelbagai ujian dan godaan alam perkahwinan.

Akan ada banyak godaan dalam hidup tapi ketika itu ingatlah bahawa di rumah ada seseorang yang jaga hati, mempercayai dan memilih kamu setiap hari.

“Jangan sia-siakan hati yang memilih untuk percayakan kita,” ujarnya.

Dalam kesempatan itu, Awang berharap Bella menjadi isteri yang baik dan taat selain meluahkan rasa sayang berterusan terhadap suami.

“Buat anak ayah, hari ini ayah lepaskan tangan kamu kepada lelaki yang insya-Allah menemani kamu selamanya.

“Jadilah seorang isteri yang baik dan menghormati suami. Kalau suatu hari nanti kamu hampir jatuh, semoga dialah paling dahulu menyambut kamu.

“Apa-apa pun yang berlaku ingatlah kamu tetap anak ayah. Ayah dan mama sentiasa ada, menyayangi kakak selama kami masih di dunia,” jelasnya.

Hari ini, Bella dan Saddiq selamat diijabkabul dengan sekali lafaz di Menara Merdeka 118.

Pasangan ini dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok