MEMASUKI usia 50 tahun bukan sekadar pertambahan angka buat seseorang wanita, sebaliknya menjadi fasa untuk melihat kehidupan daripada sudut berbeza selepas melalui pelbagai pengalaman dan cabaran dalam hidup.
Bagi pelakon Rita Rudaini, perjalanan hidup yang dilalui selama ini mengajarnya menghargai nikmat ketenangan, masa bersama keluarga dan ruang menjalani kehidupan tanpa terlalu dibebani sebarang tuntutan kerjaya.
Selepas bertahun-tahun mengabadikan diri dengan dunia seni, anak jati kelahiran Kangar, Perlis itu kini lebih selesa menjalani kehidupan sederhana, malah masanya ketika ini banyak dihabiskan di rumah bersama anak-anak.
Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mokhtar berkata, kehidupan pada fasa usia ini jauh lebih teratur berbanding ketika zaman kegemilangannya suatu ketika dulu.
“Sekarang kehidupan lebih tenang kerana anak-anak pun sudah besar dan tidak lagi mengambil tawaran kerja secara bertindih-tindih. Selepas selesai satu pekerjaan, saya boleh berehat di rumah.

RITA tidak akan berhenti berlakon selagi mendapat lampu hijau daripada dua puteranya untuk terus menabur bakti dalam dunia hiburan.- ISKANDAR ISHAK
“Sebagai ibu, saya menguruskan rumah, membawa anak-anak ke aktiviti sukan dan mengatur jadual tuisyen mereka. Selepas solat isyak, biasanya saya sudah tidur,” katanya kepada HibGlam.
Menurut Rita, dia sememangnya seorang yang gemar menghabiskan masa di rumah sejak dahulu selain jadual kehidupannya ketika ini tidak lagi sepadat dahulu tanpa tuntutan kerja setiap hari.
Malah, waktu lapang yang dimiliki hari ini membolehkannya menikmati pelbagai aktiviti tanpa perlu terikat dengan komitmen penggambaran.
“Dulu, walaupun duduk di rumah, kehidupan agak kelam-kabut kerana setiap hari perlu keluar bekerja. Sekarang saya lebih relaks dan boleh menikmati masa sendiri.
“Ada masanya selepas selesai semua urusan, saya buka Netflix malah akan tertanya-tanya apa lagi yang boleh dilakukan untuk isi masa. Selalunya kalau ada masa terluang, saya keluar minum kopi,” katanya lagi.
Namun, jauh dalam sudut hatinya, timbul rasa bimbang apabila memikirkan anak-anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang makin membesar serta akan membawa haluan sendiri tidak lama lagi.
Rita mengakui dia juga belum bersedia melalui fasa tinggal seorang diri apabila anak-anaknya mula menyambung pelajaran di lokasi yang jauh satu hari nanti.
“Kalau ditanya sama ada saya sudah bersedia, sebenarnya belum juga. Sekarang seorang anak sudah berada di asrama dan selepas tamat persekolahan nanti mungkin dia akan menyambung pengajian.
“Satu hari nanti mungkin saya akan tinggal seorang diri di rumah. Perkara seperti itu memang saya ada fikirkan kerana anak-anak semakin besar dan masa berlalu begitu pantas
“Kadang-kadang saya terfikir sama ada mereka akan melayan kita seperti sekarang apabila sudah mempunyai teman sendiri. Perkara itu boleh membuatkan saya sebak apabila memikirkannya,” tuturnya.
Dalam pada itu, pelakon filem Mami Jarum ini mengakui faktor usia mula menjejaskan staminanya, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berada di set penggambaran untuk tempoh masa yang lama.
Dia juga pernah berbincang dengan dua anaknya mengenai kemungkinan untuk tidak lagi aktif dalam bidang lakonan, namun respons sebaliknya pula diberikan.
“Saya pernah beritahu anak-anak, ‘mummy sudah 50 tahun, sampai bila hendak duduk di set?’ Tetapi anak jawab tidak mengapa dan minta saya terus berlakon.
“Sekarang, pukul 9 malam pun saya sudah mengantuk. Selepas maghrib biasanya badan sudah terasa letih dan hanya menunggu masa untuk tidur,” ujarnya yang turut tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-38.
Dia bagaimanapun menegaskan masih belum meletakkan noktah terhadap kerjaya seninya selain terkejut apabila masih menerima kepercayaan untuk menggalas watak utama meskipun sudah memasuki usia 50-an.
“Sebenarnya tidak sangka boleh sampai ke tahap ini apabila orang masih boleh menerima saya. Umur pun sudah 50 tahun, tetapi masih diberi peluang memegang watak utama.
“Kadang-kadang saya terfikir, betulkah ini? Mungkin penerbit dan pengarah melihat karakter yang boleh saya bawa tanpa terlalu mengambil kira soal usia,” tuturnya.

RITA kini fokus membesarkan dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, 15, yang masing-masing ada potensi dalam bidang akademik serta sukan.
Yusry, Yusuf
Terbaharu, dia berkongsi bakal muncul menerusi sebuah drama arahan bersama Yusry Abdul Halim dan Yusuf Bahrin menerusi slot Samarinda TV3 bertajuk Luka Seorang Isteri.
Awalnya, Rita agak keberatan menerima tawaran naskhah yang dianggap berat kerana berasakan dirinya masih memerlukan masa untuk keluar daripada emosi watak drama terdahulu.
“Mulanya, saya sudah tidak mahu ambil cerita berat kerana baru selesai menjalani penggambaran bersama Datuk Rosyam Nor, kesan emosi itu belum hilang.
“Selepas membaca skrip, saya rasa cerita ini memang bagus. Saya juga mahu mencuba keserasian dengan Yusry kerana belum pernah berlakon dengannya, begitu juga dengan Yusuf Bahrin.
“Apabila baca hingga episod kedua, saya sudah pening dan mula rasa menyesal menerimanya. Emosi saya terganggu sehingga sukar hendak meneruskan pembacaan,” jelasnya.
Kesan jalan cerita tersebut juga begitu kuat sehingga dia terbayang-bayang babak yang dibacanya meski sedang melakukan perkara lain.
“Saya sedang mencicah biskut ke dalam kopi selepas membaca skrip episod kedua. Tiba-tiba saya teringat semula cerita itu dan rasa sedih serta sebak.
“Sampai saya tertanya-tanya sendiri, kenapa pula saya sedang mencicah biskut ketika ini?” katanya sambil ketawa.
Mengakui masih selektif menerima sebarang tawaran, dia berkata, perkara tersebut penting kerana enggan membazirkan masa dengan karya yang tidak menawarkan jalan cerita berbeza.
“Berbaloi menjadi seorang yang memilih kerana saya tidak suka membuang masa di set dengan naskhah biasa-biasa.
“Berlakon sangat memenatkan termasuk membaca skrip dan menghayati watak.
“Kalau saya baca cerita yang sama dan tertanya-tanya mengapa perlu menghasilkan cerita seperti itu, memang saya tidak akan ambil,” akhirinya.

