BAND rock tersohor, Wings bakal menggegarkan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur (HRC KL) menerusi sambutan ke-35 lokasi ikonik itu pada 9 November depan.
Wings akan menjadi taruhan utama pada acara yang bermula pukul 9 malam, selain turut ditemani kumpulan Kristal serta Muzza & The Velvettones.
Persembahan mereka menjadi antara detik paling dinanti apabila kumpulan rock legenda terbabjt menghidangkan deretan lagu popular yang sudah sebati dengan peminat.
Pengurus Besar HRC KL, Ranjit Singh berkata, perjalanan muzik Wings serta vokalisnya, Datuk Awie mempunyai sejarah dengan perkembangan HRC KL yang sudah menjadi antara venue penting buat peminat muzik sejak 1991.
“35 tahun mewakili lebih daripada sekadar masa kerana ini merupakan legasi muzik, kenangan serta generasi yang membesar bersama kami.
“Kami amat berbangga meraikan perjalanan ini, seterusnya membawa Hard Rock Cafe Kuala Lumpur meneruskan dengan jitu,” katanya.
HRC KL turut memilih mengabadikan memorabilia milik penyanyi rock itu sebagai penghargaan terhadap sumbangan figura berkenaan yang bukan sahaja dikenali menerusi Wings, malah mempunyai sejarah panjang dalam industri muzik tempatan.
Selain Wings, segmen yang turut meraih tumpuan tentu sahaja kemunculan Kristal yang menghidupkan pentas dengan identiti fast-rock juga trademark mereka sejak lebih dua dekad lalu.
Kristal yang ditubuhkan pada tahun 1996 kini dianggotai Ewal selaku vokalis, Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).
Turut menghangatkan malam sarat nostalgia itu ialah Muzza, penyanyi, penulis lagu, komposer dan gitaris yang dikenali menerusi lagu Bara Jiwa, runut bunyi asal filem Blood Brothers: Bara Naga.
Sementara itu, Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah Events (RPM Events), Datuk Eddy Amir Salim berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan menguruskan acara istimewa berkenaan.
“Sambutan ini bukan sekadar ulang tahun, malah platform untuk meraikan legasi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta ikon dan pemuzik tempatan yang mewarnai industri muzik selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, HRC KL turut melancarkan kemeja-T edisi terhad hasil kolaborasi bersama Wings dengan 500 helai sahaja dikeluarkan dan ditawarkan pada harga RM198 menerusi Rock Shop untuk peminat serta pengumpul memorabilia muzik.
Tiket 35 Years, One Legendary Night dijual pada harga RM219 seorang termasuk satu minuman ringan, manakala kemasukan terhad kepada pemegang tiket berusia 18 tahun ke atas.
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi HRC KL serta kelab peminat Wings, Sayap-Sayap Wings. – HIBGLAM

